Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Peralihan Proton Holdings Bhd daripada​​ ​​​​​pemilikan tunggal oleh satu negara kepada usaha sama antarabangsa rentas sempadan susulan penyertaan Zhejiang Geely Holding Group Co dari China dalam perjanjian yang dimeterai pada Rabu, pastinya menjadi laporan berita korporat utama Malaysia tahun ini.

Persoalan bagi semua pihak, "adakah ia akan berhasil?".

Perjanjian yang dimeterai bersama Geely itu sekali gus meletakkan Proton - dan Malaysia - kini seiring beberapa syarikat automotif di beberapa negara lain, yang menyusun semula syarikat mereka susulan langkah pengukuhan melibatkan industri auto dunia.

Sebagai langkah untuk mencapai pertumbuhan, Proton-Geely menjalin pakatan untuk​​​​​​ memacu Proton daripada mencatat jualan rendah kepada mempergiatkan pengeluaran sehingga 500,000 kereta dalam tempoh tiga tahun akan datang, iaitu lima kali ganda melebihi pengeluaran semasa.

Anjakan itu adalah satu perubahan yang boleh disifatkan daripada kemerosotan kepada pertumbuhan.

Menurut penganalisis, dalam industri yang mementingkan jumlah, kos setiap unit, penyelidikan dan pembangunan serta perkongsian platform sebagai keperluan untuk mencatat keuntungan, maka ​​​​​​​mustahil untuk Proton mencapainya dalam pasaran domestik Malaysia yang kecil.

Walaupun angka pengeluaran 500,000 adalah lonjakan besar berbanding output semasa Proton iaitu kira-kira 100,000 kereta setahun, usaha perkongsian rentas sempadan untuk mencapai pertumbuhan seperti yang dimeterai Proton, merupakan satu langkah yang terbukti berhasil.

Perkongsian automotif amalan biasa

Malah, perkongsian automotif rentas sempadan hari ini telah menjadi kelaziman, ia dilaksanakan sebagai amalan kebiasaan dalam dunia perniagaan.

Contohnya, beberapa jenama Britain dimiliki orang asing. Rolls Royce Motor Cars Limited merupakan anak syarikat milik penuh BMW yang ditubuhkan pada 1998.

Sementara itu, jenama terkenal, Bentley Motors Limited, pembuat dan pemasar kereta mewah Britain, adalah anak syarikat Volkswagen AG sejak 1998.

Lambang kemewahan permotoran Britain, Jaguar Land Rover Limited, beribu pejabat di Coventry, United Kingdom merupakan anak syarikat pembuat kenderaan India, Tata Motors.

Tahun ini, Opel dari Jerman manakala Vauxhall dari Britain, kedua-duanya di bawah General Motors, telah dibeli sepenuhnya oleh syarikat Perancis, PSA Group.

Rakan strategik asing baharu Proton, Geely, membeli syarikat Sweden iaitu Volvo Cars daripada Ford pada 2009 yang mana ia dianggap langkah paling berani, dan membawa kejayaan hanya dalam tempoh dua tahun selepas itu.

Volvo pulih di bawah teraju Geely dengan merekodkan keuntungan US$1.25 bilion dan perolehan US$20.2 bilion pada 2016, daripada sebuah syarikat auto yang 'merana' akibat kerugian sebelum cukai US$653 juta pada 2009.

Ini sekali gus membuktikan pakatan bersama 'orang asing' juga mampu memberi manfaat besar.

Geely mempunyai enam kilang di China dan empat lagi berada di luar negara itu.

Pengerusi Li Shufu sebelum ini berkata bahawa syarikat itu merancang untuk mewujudkan 15 kilang di seluruh dunia dengan dua pertiga daripada keretanya dijual di luar China.

Geely juga merupakan pemilik The London Taxi Company yang mengeluarkan teksi hitam ikonik London.

Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, kumpulan Geely berjaya menjual 365,000 kereta di seluruh dunia, sekali gus ia berada di landasan yang tepat untuk mencapai jualan sebanyak sejuta kereta menjelang akhir 2017.

Lonjakan Proton

Ketua Pegawai Eksekutif DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Syed Faisal Albar menjelaskan pakatan itu membolehkan Proton, yang dimiliki DRB-Hicom, memanfaatkan pelbagai platform dan rangkaian kuasa luas Geely, dan memberi akses kepada Proton kepada pasaran sedia ada syarikat pembuat kereta China itu.

Perkongsian strategik antara Geely yang membeli 49.9 peratus kepentingan dalam Proton dan DRB-Hicom memiliki 50.1 peratus lagi, telah membentuk satu usaha sama Malaysia-China seperti pembahagian pemilikan Perodua antara Malaysia dan Jepun.

Dalam sekelip mata Proton kini mempertingkatkan kedudukannya dalam kumpulan penggiat auto dunia dengan sokongan permulaan Geely yang akan menyediakan reka bentuk, teknologi dan platform kenderaan utiliti sukan (SUV) Boyue NL3, untuk dikeluarkan di Malaysia bagi pasaran serantau.

Ia akan segera melonjakkan pengembangan Proton melalui suntikan model SUV baharu ​​​​​​​tersedia serta membolehkan pembuat kereta nasional itu mengekalkan warga tenaga kerjanya, menyediakan tempahan baharu kepada rangkaian vendor dan pembekal ​​​​​​​komponen, pada masa sama, memulihkan semula catatan jualan yang rendah.

Seiring suntikan segera model baharu itu, adalah munasabah untuk Geely turut mengoptimumkan​​​​​​​ kapasiti kilang Proton di Tanjung Malim, Perak bagi pengeluaran model Volvo khusus​​​​ bagi ​​​​​​pasaran ASEAN, yang akan menjadikan harga jualan kereta itu jauh lebih murah sekali gus meningkatkan daya saing dalam zon ASEAN bebas cukai.

Di samping itu, perkongsian rentas sempadan antara Proton, firma dari Malaysia, dan Geely dari China itu akan membawa kepada pengukuhan Proton melalui penawaran model baharu, pembuatan jenama Geely yang lain.

Ini akan menghentikan kebimbangan beberapa pihak yang beranggapan perkongsian Geely akan menyebabkan tenaga kerja Proton diberhentikan selain vendor dan pengedar akan dipinggirkan.

Lebih banyak peluang pekerjaan 

Hakikatnya, pertumbuhan Proton sudah pasti akan mendorong lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan, vendor dan pembekal akan menerima jumlah tempahan jauh lebih besar, malah mereka perlu berusaha untuk 'mengejar' pertumbuhan pesat Proton.

Pihak yang meragui perkongsian itu perlu menilai bahawa tiada mana-mana rakan strategik asing akan bersusah payah melaksanakan perjanjian yang memerlukan berbilion ringgit dari tahun ke tahun, menyerahkan penyelidikan dan pembangunan mereka, memindahkan reka bentuk auto dan platform, jika bukan demi mempertingkatkan pengeluaran Proton.

Pasaran ketara bagi perluasan kedudukan Proton adalah ASEAN, sebuah pasaran kenderaan paling pantas berkembang di dunia, dengan jumlah penduduk 600 juta selain merupakan pasaran kenderaan pemanduan sebelah kanan yang belum menempatkan kedudukan pengeluaran Geely.

Di sinilah Proton perlu memanfaatkan peluang dan usaha bersama kedua-dua syarikat ​​​​​​​​​​​​akan​​​​​​​'memecahkan' pasaran ASEAN secara lebih cepat dan pada kos jauh lebih rendah, daripada masing-masing bersaing untuk menguasai pasaran itu.

Justeru itu, sekali lagi, untuk meningkatkan pengeluaran dan sentiasa merancang bagi penawaran ​​​​​​​model-model baharu, perkongsian Proton-Geely perlu mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan berkelas dunia di Malaysia, ini sekali gus menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

Bagi Proton, adalah lebih baik menjalinkan perkongsian yang berhasil, daripada pemilikan tunggal yang merugikan.

Pada masa sama, perkongsian automotif itu akan mendorong industri lain di negara ini, daripada minyak dan gas, pembangunan hartanah, pembuatan perabot sehinggalah komponen aeroangkasa, untuk membuat penilaian masing-masing sama ada mereka turut seharusnya menuju peringkat global melalui laluan usaha sama.

Bagi Proton, semua petunjuk telah terarah kepadanya untuk menjadi penggiat antarabangsa, sekali gus melepasi kesukaran yang dihadapi dalam 'belenggu' pasaran domestik yang kecil.

Walau apa pun, perkongsian Proton-Geely boleh dianggap peristiwa terbaik yang berlaku kepada pembuat kereta nasional itu bagi sepanjang sejarah turun naiknya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS