Masyarakat Melayu berbeza pendapat berhubung cadangan supaya jabatan agama tidak menghabiskan tenaga untuk menangkap pihak yang ponteng puasa.
Menariknya, terdapat perbezaan pendirian yang ketara berdasarkan jantina pihak yang ditemui secara rawak itu.
Kebanyakan orang perempuan bersetuju dengan pandangan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin bahawa lebih baik penguat kuasa agama membantu golongan miskin.
Bagaimanapun orang lelaki pula berpendapat penguatkuasaan terhadap golongan ponteng puasa memang perlu dibuat. Mereka bagaimanapun turut bersetuju supaya orang miskin turut dibantu.
Eksekutif akaun Linda Abdul Kasim berkata orang susah sudah terlampau ramai di negara ini, ditambah lagi dengan kenaikan harga barang yang menekan.
“Setuju (utamakan orang susah) sebab kalau kita tengok memang terlampau ramai (golongan ini). Mereka tak pergi cari tau,” katanya.
Wahida Othman, 36, turut berpandangan sama.
“Buat apa guna dana itu untuk tangkap orang tak berpuasa. Orang susah tak ada wang nak sara hidup, lebih baik bantu yang lebih memerlukan,” katanya.
Beliau percaya peningkatan iman seseorang Muslim itu bermula daripada rumah dan sekolah.
“Banyak orang muda mungkin kesedaran tak ada,” katanya kepada Malaysiakini.
Khairy semalam berkata terdapat banyak jalan mencegah kemungkaran dan dasar moral bukan satu-satunya untuk berbuat demikian.
Katanya, daripada membelanjakan wang untuk mencari orang Islam yang ponteng puasa, lebih baik ia digunakan untuk membantu asnaf-asnaf zakat.
Di Wilayah Persekutuan, orang Islam yang makan, minum atau merokok secara terbuka boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.
Peruntukan sama terdapat di negeri-negeri lain seluruh Malaysia.
Saya boleh bincang dgn Jamil Khir ttg JAKIM/JAWI tapi kena ingat jabatan2 lain yg buat enforcement ni di bawah kuasa negeri. State power. https://t.co/jY9VESIkRG
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) 28 May 2017
Instead of religious depts spending money on enforcement ppl looking for people ponteng puasa, use them to help asnaf and to do good.
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) 28 May 2017
Another observation (more controversial): resources used to catch people not fasting should be used to help the poor and needy instead.
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) 28 May 2017
Sementara itu, pesara tentera Abdul Hamid Mohamad Sari pula berpendapat penguatkuasaan terhadap golongan ponteng puasa perlu dilakukan bagi membetulkan syiar Islam.
“Orang bangsa asing selalu mempertikaikan (kita). Jadi lebih baik kita tunjukkan yang terbaik, baru (orang) kata Islam ini terbaik.
“Kebanyakan (bangsa asing) selalu memperlekehkan Islam,” katanya.
Hamid berpendapat lebih dana itu dibelanjakan untuk penguatkuasaan daripada “pergi ke tempat lain”.