Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan media kecam surat tunjuk sebab pada The Star
Diterbitkan:  May 30, 2017 1:41 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Jawatankuasa Kebebasan Media, Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Sedunia (WAN-IFRA) mengutuk tindakan kerajaan terhadap The Star susulan kontroversi muka depan akhbar itu pada 27 Mei lalu.

Jawatankuasa itu menganggap surat tunjuk sebab Kementerian Dalam Negeri itu (KDN) sebagai perlanggaran terhadap kebebasan bersuara dan menunjukkan keperluan mendesak ke arah pemansuhan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

WAN-IFRA berkata, akhbar itu tidak patut dihukum lagi kerana ia telah bertindak dengan betul apabila menjawab kebimbangan pembaca dan mengambil langkah-langkah memperbetulkan keadaan.

“Harus diingatkan bahawa penggantungan lesen penerbitan The Star boleh menjejaskan hidup ratusan pekerja-pekerjanya, termasuk kakitangan sokongan yang langsung tidak terlibat dalam isu itu,” kata jawatankuasa itu.

Insiden itu, bagaimanapun, kata WAN-IFRA menunjukkan keperluan terhadap garis panduan industri berkaitan etika laporan untuk mengelakkan tindakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan.

Ia, katanya, harus menjadi agen kawal selia kendiri “dari media untuk media”.

“Ini boleh dilakukan melalui pembentukan majlis media, dengan wakil-wakil media cetak, atas talian dan media penyiaran, yang akan bertindak sebagai ombudsman (badan kawal selia) terhadap aduan awam kepada media,” katanya.

Empat wakil The Star semalam hadir di KDN di Putrajaya dipercayai untuk memberi penjelasan.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata pihaknya kecewa dengan akhbar itu yang memaparkan gambar umat Islam menunaikan solat tarawih bersama tajuk muka depan Malaysian Terrorist Leader (pemimpin pengganas rakyat Malaysia).

Ia dikatakan tidak sensitif dengan umat Islam.

The Star memohon maaf kelmarin dan menjelaskan menjadi amalan mereka menerbitkan gambar tarawih di muka depan pada hari pertama Ramadan, kerana menghormati bulan mulia itu.

Sementara itu, WAN-IFRA juga mengundang pengarang-pengarang di Malaysia tampil berbincang berkaitan perkara itu.

Mereka berkata akan mengeluarkan undangan rasmi dalam masa terdekat.

WAN-IFRA membangkitkan keadaan di Indonesia apabila media dikawal oleh majlis akhbar tanpa sebarang campur tangan kerajaan, sebagai contoh.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS