Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jaga tulisan wahai ahli PAS
Diterbitkan:  May 30, 2017 2:56 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Dalam nasihat yang boleh dianggap jarang-jarang dibuat, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengingatkan ahli bawahan parti itu supaya berhati-hati dalam tulisan masing-masing.

Kata Tuan Ibrahim, ia sepatutnya dilakukan begitu sejajar dengan budaya politik matang dan sejahtera yang dilaksanakan PAS.

"Disiplin tulisan ini perlu dijaga sentiasa.

"Tulisan mestilah selaras dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang menjadi dasar parti," katanya.

Beliau juga segera menyatakan sebarang tulisan atau pendapat yang tidak menepati dasar PAS sebagai pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian parti berkenaan.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai status seorang pemimpin PAS peringkat kawasan yang memuat naik status menggunakan bahasa yang kasar.

Menggunakan wadah Facebook, Yang Dipertua PAS Gombak, Salehhuddin Nasir mencatat: Meluat menyampah aku tengok pemimpin DAP buka puasa sekali dengan orang Islam. Menyebok je. Masa lain buat pesta arak dan pesta onani. Haram jadah sungguh. (Kepada) orang Islam, Allah dah sebut lakum di nukum waliyadin. Sori saya tak perlu pandangan sufi tasauf di sini. DAP musuh Islam. PAN (Parti Amanah Negara - AMANAH) PKR macai DAP!!"

Kena tanam di jirat

Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi, memberitahu Malaysiakini beliau akan berhubung secara langsung dengan Salehhuddin untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai tulisan berkenaan.

Dipercayai Salehhuddin bukan satu-satunya pemimpin PAS yang menggunakan media sosial untuk memberi pandangan yang melampau, termasuk membabitkan orang bukan Islam.

Pada 26 Mei lalu anggota dan penyokong pertubuhan yang menggelar diri mereka Jaringan Muslimin Pulau Pinang dilaporkan melarang ketua menteri negeri itu berbuka puasa dengan orang Islam, atau perlu menganut Islam sebelum boleh dibenarkan berbuat demikian.

JMM diketuai bekas ketua pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Nordin (gambar).

Bagaimanapun untuk rekod, media sosial bukanlah saluran tunggal pemimpin atau penceramah PAS membuat kenyataan kontroversi. Satu lagi wadah yang popular untuk mereka ialah melalui pentas ceramah atau kuliah.

Suatu ketika dulu bekas Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Norazli Musa, pernah berceramah dengan mengaitkan kelayakan seseorang memasuki syurga dengan keanggotaan mereka dengan parti itu.

Pada Jun 2016 pula Yang Dipertua PAS Padang Serai, Kedah, Shaharuddin Ibrahim, meminta maaf selepas menuduh - semasa ceramahnya - kerajaan Pulau Pinang melarang azan dikumandangkan di negeri itu.

Bagaimanapun beberapa bulan kemudian dia sekali lagi menjadi perhatian apabila memberikan 'fatwanya' mengenai kedudukan akidah seseorang jika tidak menyokong rang undang-undang persendirian dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

"Kak Wan, Kak Wan kena angkat tangan (sokong usul Abdul Hadi). Kalau Kak Wan tak angkat tangan, boleh menyebabkan jatuh iman. Kalaulah ditakdirkan lepas angkat tangan itu (Kak Wan) mati, kami tanam jirat," katanya.

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata tiadanya sebarang tindakan ke atas pihak yang membuat kenyataan melampau itu mungkin mendorong pemimpin lain dalam PAS terus melakukan perkara sama sehingga hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, PAS meraikan hubungan yang baik dengan masyarakat bukan Islam di negara ini.

Oleh itu, katanya, PAS sebagai sebuah gerakan dakwah mesti mampu mendekatkan masyarakat bukan Muslim bagi memahami Islam, walau mereka tidak menerimanya sebagai agama.

Tuan Ibrahim juga menegaskan, amalan berbuka puasa tidak perlu dipolitikkan oleh sesiapa bahkan sepatutnya digunakan untuk merapatkan hubungan sesama anggota masyarakat.

"Sebaiknya aktiviti berbuka puasa digunakan sebagai medan merapatkan hubungan antara kaum dan meningkatkan pemahaman antara agama," katanya.

Tuan Ibrahim kini memangku tugas presiden PAS sepanjang tempoh Abdul Hadi menerima rawatan perubatan selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.

Lihat Komen
ADS