Paling Popular
Terkini

Lima pengarang dan seorang jurugambar dari The Star hari ini disoal siasat oleh polis berhubung muka depan kontroversi akhbar berkenaan Sabtu lalu.

Peguam mereka, Amer Hamzah Arshad berkata keenam-enam mereka disoal mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan berhubung dakwaan kesalahan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

"Rakaman kenyataan berjalan lancar. Kami percaya pihak polis akan menyiasat perkara itu secara adil dan objektif," kata Amer Hamzah kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan berhubung soalan yang diajukan, tetapi memberitahu soal siasat mengambil masa dua jam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini berkata, akhbar harian berbahasa Inggeris itu akan disiasat kerana menghasut selepas beberapa laporan polis dibuat ke atasnya.

The Star semalam menggantung tugas ketua pengarang kumpulannya, Datuk Leanne Goh, dan pengarang eksekutif, Dorairaj Nadason, bagi membolehkan siasatan dalaman dibuat berhubung penerbitan muka depan 27 Mei lalu.

Halaman depan akhbar itu mencetuskan kemarahan orang ramai apabila ia menyiarkan gambar umat Islam sedang sembahyang pada muka depannya bersama laporan mengenai keganasan yang bertajuk Malaysian Terrorist Leader (Pemimpin Pengganas Malaysia).

Pesalah kali pertama di bawah Akta Hasutan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara, Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS