Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan operasinya terhadap semua bentuk rasuah dalam masyarakat dan oleh itu adalah tidak benar sama sekali jika ada pihak mendakwa pasukan polis sengaja dijadikan sasaran khususnya, kata Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR).

Pengerusi lembaga itu, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata sasaran peperangan yang dilancarkan adalah bagi menentang rasuah dalam kerajaan, perniagaan dan politik.

"Lembaga penasihat ingin menegaskan bahawa SPRM bukan tidak suka kepada polis, ia samalah seperti kebanyakan kita yang menentang rasuah dalam kehidupan bernegara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tunku Abdul Aziz berkata dalam mesyuarat bulanannya pada 29 Mei di Kuala Lumpur, lembaga itu memberi sokongannya terhadap tindakan yang sedang diambil SPRM terhadap pegawai polis yang disyaki melindungi pengusaha pusat judi haram dan tempat maksiat.

Katanya LPPR berharap tindakan serupa akan diambil di tempat lain di seluruh negara, di mana aktiviti haram itu dilaporkan berlaku secara berleluasa dan lembaga itu memberi galakan penuh kepada SPRM supaya turut menjalankan penyiasatan hingga ke peringkat paling tinggi dalam pasukan polis, tanpa rasa gentar dan pilih kasih.

Tunku Abdul Aziz juga menggesa orang ramai yang menyedari tentang wujudnya kerjasama antara pegawai penguat kuasa dengan pengusaha judi haram dan pusat maksiat supaya melaporkan apa yang mereka tahu kepada SPRM.

Bagaimanapun, kata beliau, dalam kemungkinan terdapat segelintir anggota pasukan polis yang tidak jujur, sebenarnya masih terdapat beribu-ribu anggota lelaki dan wanita pasukan itu yang menjalankan tugas masing-masing dengan mematuhi sepenuhnya sumpah perkhidmatan mereka demi kepentingan masyarakat.

"Sebahagian besar anggota pasukan polis marah dengan perbuatan buruk rakan sejawatan mereka itu dan mereka malu kerana berkhidmat dengan pasukan yang nama baiknya tiba-tiba menjadi rosak disebabkan perbuatan segelintir manusia. Kepada mereka yang terus berpegang teguh dengan pendirian menolak rasuah, kami ucapkan terima kasih," katanya.

Beliau berkata lembaga itu juga ingin merakamkan penghargaannya kepada Ketua Hakim Negara kerana memberi perhatian secara peribadi dalam memastikan kes rasuah dikendalikan dengan secepat mungkin serta penuh berhemat dan teliti.

-Bernama

Lihat Komen
ADS