Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah Rayuan Syariah tolak permohonan qazaf Anwar

Mahkamah Rayuan Syariah hari ini menolak permohonan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Panel tiga hakim syarie yang diketuai oleh Md Yusup Che Teh berkata, mereka bersetuju dengan hujah-hujah ilmiah bahawa zina turut meliputi liwat.

Namun, menurut beliau, mahkamah terikat dengan enakmen jenayah syariah Selangor, yang mentakrifkan zina hanya sebagai persetubuhan antara seorang lelaki dengan seorang wanita.

Justeru, mereka memutuskan permohonan qazaf itu tidak dapat diluluskan.

Ini adalah alasan sama yang diberikan apabila Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Oktober lalu membatalkan permohonan qazaf pertama Anwar terhadap Shafee.

Anwar pada 26 Jun 2015, melalui isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga adalah Presiden PKR telah memfailkan aduan terhadap peguam itu di bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Saman ke atas Shafee itu berhubung tindakan peguam Umno itu yang mengadakan dialog terbuka di Akademi Kepimpinan Kapten Hussein, pada 17 Feb 2015, selepas bekas ketua pembangkang itu didapati bersalah dalam kes liwat II di mahkamah persekutuan.

Beliau mendakwa Shafee melakukan kesalahan qazaf kerana menokok-tambah kejadian yang dikatakan berlaku itu, dan mencabar Shafee untuk mengemukakan empat orang saksi.

Md Yusup berkata memandangkan terdapat peningkatan dalam kes mereka yang dituduh berzina,sudah sampai masanya, takrifan itu dipinda bagi membolehkan mereka yang dituduh untuk membawa dakwaan qazaf terhadap penuduh mereka.

Ini disambut baik oleh peguam Anwar, Fadhlina Siddiq, yang melahirkan penghargaannya berhubung pendirian mahkamah rayuan itu.

Ketika ditemui kemudian selepas kes berakhir, Fadhlina berkata penghakiman itu adalah asas yang kukuh bagi enakmen jenayah syariah Selangor dikaji semula.

Kuasa untuk meminda enakmen itu terletak pada Dewan Undangan Negeri.

Sementara itu ditanya apa langkah seterusnya bagi Anwar, peguam itu berkata beliau akan melanjutkan perbincangannya.

Mahkamah Rayuan Syariah adalah peluang terakhir bagi rayuan terhadap kes-kes syariah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS