Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dr M sedia jadi PM untuk selamatkan karier Mukhriz'
Diterbitkan:  Jun 6, 2017 3:28 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Exco Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah percaya kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri semula adalah bagi menyelamatkan karier politik anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Bagi saya kenyataan Tun M ini lebih kepada untuk menyelamatkan masa hadapan politik anak emas beliau, Mukhriz dalam arena politik negara.

"Tun M merancang semua strategik politik beliau untuk memastikan kesinambungan kuasa politik bagi anak emas beliau," katanya kepada Umno Online.

Armand berkata gerakan politik yang dirancang Mahathir lebih ke arah politik peribadi berbanding kepentingan rakyat.

"Rakyat dimomokkan dengan laungan ‘Selamatkan Malaysia’ di mana sepatutnya laungan ‘Selamatkan Mukhriz’ adalah gerakan tersirat beliau,” tambahnya yang juga Presiden Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M).

Dalam sesi siaran langsung di Facebook minggu lalu, Mahathir berkata beliau mungkin mempertimbangkan cadangan menjadi perdana menteri semula sekiranya itu yang dimahukan Pakatan Harapan.

Mahathir yang kini berusia 92 tahun merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), manakala Muhkriz selaku timbalan presiden dalam parti itu. 

Armand turut mengimbau desakan agar Mahathir meletakkan jawatan sepanjang 22 tahun menjadi perdana menteri.

“Selama 22 tahun beliau jadi PM, pelbagai skandal dan isu panas yang ada ketika era beliau.

"Jadi jangan ingat rakyat lupa sejarah, beliau bernasib baik ketika zaman beliau jadi PM tiada sosial media seperti hari ini," katanya.

Armand berkata kesediaan Mahathir untuk kembali menjadi perdana menteri jika pembangkang menang PRU14 kelak membuktikan perebutan kuasa dalam pembangkang.

Katanya, PKR secara konsisten mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan AMANAH pula mencadangkan Mat Sabu bagi jawatan itu. 

BERSATU pula tidak konsisten dalam mencadangkan calonnya, sama ada Muhyiddin, Mukhriz dan yang terbaru, Mahathir pula menyatakan hasrat untuk kembali menjadi perdana menteri.

“Seperti biasa DAP memainkan peranan dalam isu ini di mana mengambil pendekatan menyokong semua pihak, kerana mereka mempunyai agenda utama iaitu siapa sahaja jadi PM di bawah Pakatan harus akur pada tiap agenda DAP," katanya.

Lihat Komen
ADS