Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zakaria minta maaf, yakin di pihak benar
Diterbitkan:  Jun 7, 2017 1:05 PM
Dikemaskini: 5:25 AM

Selepas ribut yang berlaku di Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) presiden dan ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan itu menggunakan media sosial untuk menyatakan serba sedikit isi hatinya.

Melalui Twitter, Zakaria Arshad‏ berkata, sebagai anak Felda beliau sudah melakukan apa yang termampu untuk kepentingan syarikat berkenaan.

"Suara hati saya adalah jelas," katanya malam tadi.

Sebelum itu Zakaria berkata, perkembangan ke atasnya semalam adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi dalam sejarah Felda dan FGV sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin kebenaran akan muncul tidak lama lagi.

Zakaria diarah bercuti serta-merta oleh lembaga pengarah FGV yang bermesyuarat semalam. Tan Sri Isa Samad mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

 

 

Alasan yang diberikan supaya Zakaria bercuti ialah supaya siasatan audit dalaman dapat dilakukan ke atas beliau.

Isa yang juga pengerusi FGV berkata pihaknya juga bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika diperlukan.

“Terserahlah kepada SPRM nak masuk (siasatan), masuklah kita tak ada masalah. Buat masa ini kita cuma mengeyakan (mengesahkan) siasatan audit dalaman," katanya.

 

 

Selain Zakaria FGV juga memberikan surat kebenaran bercuti kepada tiga lagi pegawai kanan agensi itu dan anak syarikatnya, sepanjang siasatan berlangsung.

Mereka ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd, Kamarzaman Abd.

Kata Zakaria beliau juga meminta maaf kepada rakan sekerja dan warga Felda kerana terpaksa keluar dari pejabatnya secara mengejut.

"Saya tidak berpeluang untuk bertemu anda semua," katanya.

Sementara itu reaksi di Twitter menunjukkan Zakaria mendapat banyak sokongan.

Rahman Lee‏ (@rahman7270 ) misalnya, membalas tulisan Zakaria dengan kata-kata: "Kami di belakang anda dan berdoa semoga kebenaran akan terungkap. Bertabahlah, kami masih perlukan kepimpinan anda."

Pemilik akaun @ishamshir pula menulis: "Hanya pihak ketiga seperti SPRM yang bebas dan profesional membersihkan nama anda. Kekal kuat Dato Zack dan sesungguhnnya kebenaran akan muncul."

Lihat Komen
ADS