Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sehari selepas dilantik menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala hari ini hadir ke Menara Felda di Kuala Lumpur.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu Associates Sdn Bhd itu tiba pada jam 2.34 petang ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut berada di situ sejak pagi dipercayai untuk mengambil dokumen berkaitan FGV.

Diiringi lima orang pegawai polis, Idris bagaimanapun enggan mengulas pertanyaan media berkaitan kehadirannya hari ini.

Idris yang hadir dengan mengenakan sut lengkap dilihat menaiki lif naik ke atas bersama anggota polis.

Semalam kerajaan melantik Idris sebagai pihak berkecuali untuk meneliti isu sekitar presiden dan CEO Datuk Zakaria Arshah dan tiga lagi pegawai kanan FGV yang dicutikan.

Idris diminta untuk meneliti fakta kes dan mencadangkan penyelesaian.

Sementara itu, seramai 30 orang pengamal media berkumpul di lobi Menara Felda sejak jam 9 pagi lagi bagi mengetahui perkembangan kes tersebut.

Selepas satu jam, kira-kira jam 3.30 Idris turun ke lobi diiringi anggota polis.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai hasil siasatan tersebut.

“Saya sedang cuba mendapatkan fakta berkaitan isu itu. Sementara (dapatkan fakta) tu, saya tak nak buat apa-apa kenyataan sebab akan menjejaskan (siasatan),” katanya kepada pemberita di lobi Menara Felda.

Lihat Komen
ADS