Paling Popular
Terkini

Perdana Menteri Theresa May sedang bergelut untuk kekal berkuasa ketika pengundi Britain menghukumnya, dengan menafikannya mandat yang lebih kukuh yang dicarinya untuk berdepan dengan rundingan Brexit, sebaliknya telah melemahkan cengkaman parti itu untuk terus berkuasa.

Tanpa pemenang yang jelas muncul dari pilihan raya Parlimen semalam, May memberi isyarat untuk terus berjuang, walaupun kehilangan majoriti di Parlimen. Saingannya dari Parti buruh, Jeremy Corbyn berkata May patut letak jawatan.

Dengan keputusan 643 daripada 650 kerusi diisytiharkan, Konservatif menang 313 kerusi dan gagal mencapai sasaran 326 kerusi untuk ia menguasai majoriti di parlimen. Parti Buruh menang 260 kerusi.

Ekoran rundingan mengenai tindakan Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah dijadual bermula dalam masa hanya 10 hari lagi, terdapat ketidaktentuan mengenai siapa yang akan membentuk kerajaan dan tentang arah halatuju Brexit.

"Pada masa ini, apa yang lebih penting ialah negara ini memerlukan tempoh kestabilan," kata May selepas memenangi kerusi Parlimennya, Maidenhead di tenggara England.

"Jika... Parti Konservatif memenangi kerusi terbanyak dan mungkin undi tertinggi, maka wajib untuk kita memastikan bahawa kita mempunyai tempoh kestabilan dan itulah yang akan kita lakukan."

Selepas memenangi kerusinya di utara London, Corbyn berkata cubaan Mei untuk memenangi mandat yang lebih besar, telah memakan diri sendiri.

"Mandat yang dia perolehi ialah kalah kerusi Konservatif, hilang undi, hilang sokongan dan hilang keyakinan," katanya.

"Bagi saya, itu itu sudah cukup untuk dia berundur sebenarnya, dan memberi laluan kepada sebuah kerajaan yang akan benar-benar mewakili semua rakyat negara ini."

May telah membuat kejutan dengan mengadakan pilihan raya mengejut tujuh minggu lalu, dengan keyakinan mampu untuk memperbaiki majoriti tipis yang diwarisinya daripada David Cameron sebelum memulakan rundingan Brexit.

Sebaliknya, May kini berdepan dengan risiko tersingkir selepas hanya 11 bulan menjadi perda menteri - yang tersingkat bagi tempoh jawatan sebarang perdana menteri dalam tempoh selama hampir satu abad.

"Apa pun yang berlaku, Theresa May telah kena panggang," kata Nigel Farage, bekas pemimpin anti-EU parti UKIP.

[Baca berita penuh]

- Reuter

Lihat Komen
ADS