Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin Pemuda AMANAH ditahan polis
Diterbitkan:  Jun 9, 2017 3:02 PM
Dikemaskini: 7:09 AM

Seorang pemimpin pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) ditahan polis tengah hari ini.

Shazni Munir Mohd Ithnin dipercayai ditahan pihak berkuasa berhubung tindakan serta protes diadakan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya pada 23 Mei lalu.

Susulan penahanan itu, naib ketua pemuda AMANAH berkenaan menyatakan di Twitter, dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Ketika dihubungi kemudian, seorang jurucakap polis mengesahkan Shazni ditahan.

"Dia masih ada di balai polis dan kami akan mengeluarkan kenyataan apabila soal siasat selesai," katanya.

Menurut kenyataan di Facebook AMANAH, Shazni ditahan kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.

Ia menyatakan, Shazni memberitahu anggota polis akan datang ke Wisma Amanah Negara di Kuala Lumpur untuk merakam kenyataannya.

"Bagaimanapun tiga anggota polis yang hadir pada jam 12 tengah hari memaklumkan kehadiran mereka adalah untuk menahan Shazni.

"Anggota polis memaklumkan Shazni ditahan mengikut Syeksyen 341 Kanun Keseksaan dipercayai berkaitan dengan aksi protes di hadapan bagunan SPR 23 Mei lalu," tulis akaun Facebook berkenaan.

Seksyen 341 adalahmerujuk kepada kesalahan "menghalang mana-mana orang dengan salah". Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan, atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Malaysiakini pada 23 Mei lalu melaporkan, sekumpulan anggota Pemuda dan Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) merantai serta mengunci pintu pagar ibu pejabat SPR.

Sebelum mengunci pagar, mereka terlebih dahulu berkumpul di depan Menara SPR di Putrajaya selama kira-kira sejam bagi menyerahkan memorandum.

Malah, sementara menunggu pengerusi SPR turun, kira-kira 50 daripada mereka turut duduk di depan pekarangan bangunan berkenaan.

Kumpulan itu ingin menyerahkan memorandum kepada SPR agar menarik balik larangan pengedaran Rang Daftar Pemilik Tambahan kepada parti politik.

Lihat Komen
ADS