Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bukan sesuatu yang luar biasa bagi Ketua Hakim Negara mengeluarkan arahan untuk mempercepatkan kes-kes mahkamah, terutamanya jika ia melibatkan kepentingan awam, kata beberapa peguam.

"Ya, dia berbuat demikian walaupun untuk kes-kes jenayah dan rasuah yang melibatkan kakitangan awam," kata peguam Baljit Singh Sidhu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan dua kes mencabar persempadanan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipercepatkan atas arahan langsung daripada Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH semalam mendakwa, kedua-dua kes itu - masing-masing membabitkan kerajaan Selangor dan penduduk Melaka yang menyaman SPR - ditetapkan pada 20 Jun atas arahan Ketua Hakim Negara.

BERSIH mendakwa arahan itu menyebabkan mereka mempunyai masa kurang daripada lima hari untuk memfailkan hujah bertulis dan menghadiri pendengaran itu dalam masa seminggu sebelum Hari Raya.

Bagaimanapun Baljit berkata walaupun percaya kes-kes membabitkan kepentingan awam perlu disegerakan, peguam masih perlu diberi masa mencukupi untuk membuat persediaan.

"Keadilan yang dibuat secara tergesa-gesa adalah keadilan yang dinafikan... Lima hari (untuk membuat persediaan) adalah tidak masuk akal.

"Walaupun mahu ia disegerakan, mereka mesti memberi semua pihak masa yang munasabah (untuk membuat persediaan)," katanya.

Seorang lagi peguam, New Sin Yew, turut bersetuju dengan Baljit.

Katanya, bukan aneh apabila seorang Ketua Hakim mahu kes melibatkan kepentingan awam disegerakan.

Menurut New, kes seumpama itu memang perlu diberi keutamaan.

"Persempadanan semula kawasan pilihan raya sesuatu yang sangat penting, dan tiada yang luar biasa apabila mahkamah memberi keutamaan kepada kes-kes begitu.

"Malah, memang begitulah sepatutnya. Saya akan bimbang jika kes kepentingan awam ditangguhkan," katanya.

Pada masa sama, New turut bersetuju peguam memerlukan masa sewajarnya untuk menyediakan hujah-hujah mereka, namun menegaskan memang menjadi kelaziman kes kepentingan awam diberi notis singkat untuk didengar di mahkamah.

"Tetapi saya rasa peguam perlu diberi masa untuk menyediakan hujah.

"Jika tidak, mereka tidak dapat memberi pandangan yang betul mengenai merit kes mereka di mahkamah," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS