Paling Popular
Terkini

Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Shazni Munir Mohd Ithnin dibebaskan kira-kira jam 3.45 petang tadi, sehari lebih awal daripada tempoh dibenarkan mahkamah.

Dia sebelum ini direman empat hari oleh polis.

“Bebas sekitar 3.45 petang tadi. Sepatutnya (bebas) esok, tapi pegawai penyiasat bagi lepas tadi,” katanya kepada Malaysiakini.

Shazni direman sejak Sabtu lalu dipercayai berhubung pembabitannya dalam protes terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada 23 Mei lalu.

Dia disiasat mengikut Seksyen 341 Kanun Keseksaan, merujuk kepada kesalahan "menghalang mana-mana orang dengan salah".

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan, atau dengan denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Shazni diwakili peguam Faiz Fadzil, yang juga timbalan ketua pemuda AMANAH, selain Wan Anwar Wan Ibrahim.

Shazni berkata sepanjang tempoh empat hari di dalam lokap - termasuk hari tangkapan - dia memberikan kerjasama baik kepada polis.

Mungkin lalui proses mahkamah

Namun tangkapan itu, katanya, tidak mengubah pendiriannya mendesak supaya reformasi dilaksanakan ke atas SPR akan terus diperjuangkan.

Langkah protes, katanya, adalah satu-satunya jalan untuk melihat perubahan berlaku pada agensi pengendali pilihan raya di negara ini selepas ruang diplomasi menemui jalan buntu.

"Rantai pagar itu muncul setelah tiga kali pertemuan sebelum itu gagal membawa hasil yang baik, bahkan pengerusi SPR tidak muncul pun!" katanya.

Menurut Shazni, SPR akan menjadi jadi benteng terakhir untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus berkuasa.

"Pengerusi SPR yang sejak awal merupakan orang politik, tidak layak memegang jawatan tersebut.

"Reformasi SPR kini menjadi kewajipan. Ia harus bermula dengan peletakan jawatan Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan melantik seorang pengerusi yang bebas daripada kecenderungan politik pemerintah," katanya.

Shazni turut menjangkakan dia akan didakwa di mahkamah selepas ini.

"Saya mungkin akan melalui proses mahkamah yang panjang selepas ini.

"Saya tidak pasti apakah saya akan kuat seperti hari ini, atau letih dan tidak bermaya.

"Dengan penuh takzim, saya memohon doa semua untuk dikuatkan iltizam saya dan seluruh anak muda Malaysia yang cintakan perubahan.

"Biar berputih tulang gerakkan perubahan, asalkan tidak berputih mata menyaksikan negara lebur di tangan pemimpin khianat," katanya.

Lihat Komen
ADS