Paling Popular
Terkini
story images
story images

Datuk Seri Najib Razak mengingatkan pasukan berpakaian seragam mengenai pentingnya bersikap taat bagi mengekalkan keamanan negara ini.

Menurut perdana menteri sebarang tindakan khianat - seperti menyalurkan maklumat kepada musuh - akan menyebabkan 'korban' di kalangan rakan seperjuangan.

Berucap di depan 13 agensi berpakaian seragam sempena program Jalinan Ramadan bersama di Kuala Lumpur hari ini, Najib memetik sejarah bagaimana Rasulullah SAW dan tentera Islam mengalahkan musuh yang lebih ramai pada Perang Badar walaupun ia berlaku ketika bulan puasa.

Katanya, ia boleh dicapai apabila semua tentera Islam mentaati perintah nabi.

Keadaan berbeza, kata Najib, apabila tentera Islam diuji sekali lagi dengan Perang Uhud yang menyaksikan mereka dikalahkan gara-gara berebut harta rampasan perang.

Memetik contoh terkini perdana menteri berkata pengkhianatan menyebabkan ada nyawa terkorban di ketika negara diceroboh oleh orang Sulu di Kampung Simunul, Semporna, pada 2013.

"Apabila ada anggota sendiri yang telah mengkhianati komradnya, yang memberi maklumat kepada musuh, musuh menyerang hendap.

"Akhirnya kesemuanya 10 orang mati, (kerana apa?) kerana kita tidak ada ketaatan. Yang ada, kesediaan mengkhianati siapa? (Mengkhianati) rakyat kita," katanya.

Kejadian itu, menurut Najib, menjadi pengajaran kepada semua mengenai prinsip wahdah (kesatuan) dan kesetiaan.

"Insya-Allah kalau kita taat dan setia, segala-gala kejayaaan tidak mustahil dicapai oleh kita," katanya.

Antara pasukan berpakaian seragam yang hadir mendengar ucapan perdana menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra itu ialah anggota tentera, polis, jabatan imigresen, jabatan pengangkutan jalan, jabatan penjara dan bahagian jururawat kementerian kesihatan.

Ketua Wanita Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata sejumlah 11,500 bungkusan disediakan untuk anggota pasukan berpakaian seragam di majlis itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS