Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahkamah Majistret Johor Bahru menolak permintaan untuk melanjutkan tahanan reman terhadap sukarelawan Invoke, Gerald Tang selama tiga hari lagi.

Peguam Tang, Jimmy Puah memberitahu Malaysiakini,polis membawa sukarelawan itu kembali ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam dan beliau dijangka akan dikeluarkan malam ini.

Tang ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Sabtu lalu apabila disoal siasat berhubung kehilangan surat dan dokumen dari peti surat di Taman Molek, Johor Baru.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Jokhiri Abdul Aziz berkata, Tang disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang meliputi hukuman kerana mencuri.

Menurut penyelaras Invoke, Rafizi Ramli, Tang telah membantu NGO itu dalam mengesahkan alamat perniagaan Godfrey Group Ltd.

Godfrey Group ialah firma yang dikatakan terlibat mendapatkan khidmat pelobi Amerika Syarikat yang juga pembantu kepada Presiden Donald Trump, Healy Baumgardner-Nardone, untuk menggalakkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Dokumen dikemukakan oleh Baumgardner-Nardone kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing 1938 menunjukkan bahawa Godfrey Group terletak di Taman Molek.

Tang menghadapi hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Malaysiakini telah cuba menghubungi sebuah NGO yang terletak di alamat Taman Molek yang sama sejak 30 Mei, dan masih menunggu jawapan.

Lihat Komen
ADS