Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Di sebalik tanggapan umum, pertemuan antara dua mufti yang menjadi perhatian ramai semalam sebenarnya berlangsung tanpa perbincangan isu 'panas' sebaliknya berkisar mengenai hal-hal biasa.

Malah, Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid menegaskan pertemuan beliau dengan Datuk Dr Zulkifli Mohamad itu sekdar pertemuan "kawan dengan kawan" saja.

"Kami tak bincang perkara (isu penyelewengan), dan menjadi hak saya sama ada hendak membincangkannya atau tidak," kata beliau kepada Malaysiakini.

Nama Zulkifli - seorang tokoh yang terkenal dengan sikap terbuka dan lemah-lembut semasa berbicara - menjadi perhatian ramai ekoran pembentangan kertas kerja Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin di Selangor baru-baru ini.

Ia dilaporkan berkaitan tuduhan berat terhadap Zulkifli.

Kertas kerja itu dikatakan bertajuk “Penyelewengan Mufti Wilayah Persekutuan Dan Kaitannya Dengan Ajaran Wahabi”.

Sementara itu, Zamihan berkata, pembentangan itu adalah berkaitan data daripada muzakarah beliau dengan Zulkifli pada 19 Januari lalu.

Ia turut dihadiri pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Zulkifli pula pada Sabtu lalu menyatakan kesediaannya bertemu Zamihan bagi merungkai salah faham beberapa isu yang dibangkitkan.

Mohd Tamyes berkata, pertemuan beliau dengan Zulkifli diisi perbincangan program perasmian penamaan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur.

"Saya cuma bincang dengan mufti Wilayah berhubung perasmian penamaan semula Masjid Jamek, itu saja," katanya.

Pertemuan berlangsung di pejabat Zulkifli di Putrajaya.

Mohd Tamyes juga meminta semua pihak agar bersangka baik terutama sempena Ramadan ini.

"Pada Ramadan ini kita hendaklah bersangka baik," kata Tamyes.

Malaysiakini masih cuba mendapatkan reaksi mufti Wilayah berhubung isu dakwaan penyelewengan yang dikaitkan dengan beliau.

Lihat Komen
ADS