Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Macam mana DAP anjur jamuan setiap malam?'
Diterbitkan:  Jun 14, 2017 5:53 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

DAP Pulau Pinang perlu berterus terang menjelaskan sumber kewangan mereka, kata Umno Pulau Pinang hari ini.

Dipetik Bernama, Ketua Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata dana politik adalah sesuatu yang sangat sensitif.

Justeru, katanya, pemimpin DAP perlu telus menghebahkan sumber pendapatan yang digunakan untuk membiayai aktiviti politik mereka.

"Timbalan perdana menteri ada menyebut, tapi beliau tidak menuduh, kemungkinan ada sindiket perjudian haram di Pulau Pinang yang membiayai kegiatan politik di negeri ini.

"Saya anggap kenyataan ini adalah sesuatu yang elok dijawab oleh pemimpin kerajaan Pulau Pinang supaya rakyat lebih faham tentang kenyataan itu," katanya George Town hari ini.

Semalam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kebimbangannya terhadap kemungkinan ada sindiket haram menggunakan hasil kegiatan mereka membiayai parti politik, terutama semasa pilihan raya umum.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, perkara itu boleh berlaku jika kegiatan judi tidak dihapuskan sepenuhnya.

"Ini bukan tuduhan, cuma dikhuatiri (berlaku pembiayaan parti politik)," katanya di Balik Pulau.

Zainal Abidin berkata, DAP Pulau Pinang dilihat sering mengadakan majlis makan malam besar-besaran yang dipercayai melibatkan peruntukan besar.

“Kerajaan DAP dah perintah Pulau Pinang hampir 10 tahun, dan sepanjang masa itu keadaan agak meriah dari segi aktiviti politik yang dibuat kerajaan negeri termasuk jamuan-jamuan makan malam yang boleh kata berlangsung hampir setiap malam.

“Jamuan-jamuan ini mengambil masa dan belanja yang besar."Rakyat ingin tahu dari mana punca belanja itu dan Umno Pulau Pinang berharap tiada unsur (pendapatan) melibatkan wang haram,” katanya.

Untuk rekod isu dana kegiatan haram dan kaitan dengan parti politik turut pernah dibangkitkan PAS sebelum ini.

Melalui suatu rencana panjang, Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pernah menjelaskan keperluan membasmi "industri dosa" dengan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau juga dikenali dengan nama Akta 355.

"Hukuman jenayah syariah yang bersifat mendidik dan mengekang, merupakan satu khabar buruk kepada pemain industri dosa dan 'tuan-tuan politik' yang melindungi mereka.

"Pemerkasaan undang-undang dan mahkamah syariah melalui pindaan Akta 355 ini sememangnya membimbangkan pemain-pemain utama industri dosa," tulisnya 6 Mac lalu.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS