Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah larang media hadir kes Najib cuba ketepi saman Pua

Media hari ini dihalang daripada membuat liputan permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan saman berkaitan 1MDB yang difailkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

Merujuk kepada kehadiran wartawan, peguam Najib, Tan Sri Cecil Abraham mengingatkan hakim bahawa perkara itu telah ditetapkan untuk didengar di dalam kamar, dan oleh itu, galeri awam perlu dikosongkan.

Bagaimanapun, peguam Pua, Gobind Singh Deo menjawab bahawa perkara berkenaan membabitkan kepentingan awam dan media harus dibenarkan untuk melaporkan prosiding itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Faizah Jamaludin berkata memandangkan perkara itu membabitkan kepentingan awam, beliau bimbang sekiranya ia akan disalah tafsir dan disalah laporkan oleh media.

"Oleh itu, sila tinggalkan dan kosongkan galeri awam. Sebolehnya, saya mahu perkara itu didengar dalam kamar tetapi ruang yang ada tidak mencukupi," katanya.

Peguam Rishwant Singh dan Nik Alia Hanafi hadir bersama dengan Cecil, manakala Joanne Chua pula membantu Gobind.

Kerajaan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke.

Pua pada 17 Januari lalu menyaman Najib untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa perdana menteri melakukan kesalahan misfeasans dalam sektor awam dan menyalah guna kedudukan dalam isu 1MDB.

Pua turut memohon pengisytiharan bahawa Najib menyalah guna pejabat awam untuk mendapat kepentingan peribadi daripada dana 1MDB.

Sebagai pembayar cukai, Pua menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Ini adalah saman ketiga yang difailkan oleh ahli politik ke atas Najib berhubung dengan 1MDB.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 April lalu membatalkan saman misfeasans oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua lagi berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam jawatan awam ke atas Najib.

Alasan yang diberikan bahawa Najib bukan seorang penjawat awam dalam jawatan awam.

Perkara ini telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Rayuan pada 30 Ogos.

Turut memfailkan saman terhadap Najib adalah bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

Selepas hampir dua jam dan 45 minit, Gobind kemudian muncul di luar mahkamah dan memberitahu wartawan bahawa Faizah telah menetapkan 3 Ogos untuk menyampaikan keputusannya berhubung permohonan Najib itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS