Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pesawat pejuang jenis Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih sesuai digunakan walaupun usianya mencecah lebih 20 tahun.

Tambahnya, tidak wajar sekiranya insiden malang yang berlaku semalam dijadikan kayu pengukur untuk merendahkan prestasi pesawat berkenaan.

"Saya dapat maklum balas dari TUDM mereka masih berpuas hati dengan pesawat ini lagi. Bahkan, banyak negara juga masih menggunakan pesawat ini.

"Kita jangan benarkan satu insiden sebegini yang berlaku menjejaskan prestasi, kredibiliti dan kemampuan pesawat berkenaan," kata Hishammuddin kepada pemberita dalam sidang media selepas memberi sumbangan Hari Raya di kementeriannya di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, dua juruterbang TUDM yang membawa pesawat Hawk 108 meninggal dunia selepas usaha menyelamatkan diri menggunakan payung terjun kecemasan gagal.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata mayat kedua-dua mereka dijumpai di sebuah kawasan hutan paya di Chukai, Terengganu.

Bagaimanapun, sehingga hari ini bangkai pesawat berkenaan masih belum ditemui.

Kejadian terakhir yang membabitkan kemalangan pesawat TUDM berlaku tahun lalu apabila sebuah pesawat jenis Beechcraft King Air 200T terhempas di Pengkalan Udara TUDM di Pulau Pinang, mengorbankan seorang juruterbang.

Hawk 108 merupakan pesawat buatan Britain dan mula digunakan TUDM sekitar 1996. Kemalangan itu merupakan kali ke-5 melibatkan jet Hawk 108.

Ia merupakan pesawat latihan lanjutan dan pesawat pejuang ringan yang boleh ditugaskan sebagai pesawat bantuan rapat udara.

Hishammuddin berkata, pihaknya turut bercadang untuk melakukan naik taraf dan menambah bilangan skuadron jenis Hawk serta beberapa aset lain.

Hishammuddin turut tidak menolak kemungkinan aset itu akan dibeli dari negara Arab Saudi.

"Insya Allah, saya tengah runding dengan beberapa pihak tertentu. Kejadian semalam tidak jejaskan aset kita.

"Kita masih ada lagi aset lain seperti aset untuk latihan, helikopter. Bahkan kita juga fikirkan transformasi aset di laut dan udara," katanya.

Lihat Komen
ADS