Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MB NS nafi akan beri duit raya kepada orang ramai seperti ditular
Diterbitkan:  Jun 16, 2017 4:55 PM
Dikemaskini: 9:00 AM

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan berita yang tular di media sosial WhatsApp kononnya beliau akan memberi duit raya kepada orang ramai di pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau atau masjid-masjid di Rantaui.

Beliau berkata berita yang tersebar itu adalah tidak benar dan palsu bertujuan untuk mengelirukan orang ramai.

"Dengan cara ini akan menyebabkan orang ramai akan marah kepada saya, jika mereka dapati pejabat saya tidak buat seperti apa yang ditularkan.

"Untuk pengetahuan, pejabat saya sudah lama memberhentikan amalan memberi duit raya di pejabat saya di DUN Rantau, sama ada semasa hari raya, mahupun pada perayaan-perayaan lain," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media hari ini.

Mohamad berkata penyebaran berita palsu ini merupakan taktik lama dan memang biasa digunakan oleh pihak yang berkepentingan untuk mensabotaj dan menjejas prestasi pihak lawan, terutamanya menjelang atau semasa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil.

"Saya harap orang ramai tidak terpedaya dengan dakyah dan tipu helah, fitnah yang tersebar di dalam media sosial ini," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS