Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangkakan bekalan kelapa di seluruh negara mencukupi meskipun ada dakwaan daripada pengusaha bahawa harga santan akan dinaikkan menjelang Aidilfitri berikutan kekurangan bekalan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata kerajaan telah melakukan pelbagai pendekatan terutama mengimport bekalan kelapa dari Indonesia dan Filipina untuk memastikan ia mencukupi.

Katanya jika berlaku juga permintaan secara mendadak di pasaran, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengimport lebih banyak bekalan kelapa dari kedua-dua negara berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di Bangunan Umno Perak di Ipoh semalam, beliau berkata setakat ini tiada masalah berkaitan bekalan kelapa dan harga santan di pasaran juga masih terkawal iaitu sekitar RM7 hingga RM8 sekilogram.

"Setakat ini, kita tak dengar dan terima laporan daripada mana-mana pihak yang mengatakan harga santan akan naik. Kalau ada pun, itu mungkin hanya agakan daripada segelintir pengusaha," katanya.

Semalam, tinjauan Bernama di Pasar Awam Tanjung Rambutan mendapati rata-rata pengusaha santan tidak menolak bakal menaikkan harga barangan itu disebabkan kemungkinan kekurangan bekalan kelapa.

Peniaga berkenaan berpendapat permintaan tinggi di musim perayaan mungkin menjadi faktor yang menyebabkan bekalan tersebut berkurangan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS