Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Maria Pagoh kini gembira dengan kehidupannya. Malah ia dirasakan jauh membahagiakan berbanding sebelum tiga tahun lalu.

Sejak dipertemukan dengan Aman Ullah dari Bangladesh - dan dia kemudian dengan rela mengucap dua kalimah syahadah selepas itu - hidup Maria jadi lebih tenang.

Dengan perkataan lain, hidup Maria, 44, berubah menjadi lebih baik.

Selepas bernikah dengan Aman Ullah, 36, pasangan terbabit dikuniakan seorang anak perempuan yang kini berusia lapan bulan.

“Namanya Maisyah Najiahah," kata Maria dengan bangga.

Sesuai dengan keadaan Aman Ullah, lelaki terbabitlah yang banyak mendidik Maria untuk terus mendalami Islam.

Tambahan pula secara kebetulan bapa mentuanya seorang imam di Bangladesh. Sedikit sebanyak penguasaan ilmu agama diwarisi oleh Aman Ullah.

"Saya harap kami dapat mendidik anak kami menjadi seorang hafizah (penghafaz al-Quran),” katanya sambil memeluk Maisyah.

Ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini Maria turut berkongsi cerita peribadinya. Sesungguhnya Aman Ullah bukanlah pasangan hidupnya yang pertama.

Dulu - ketika masih di Filipina - Maria pernah berkahwin dengan seorang lelaki tempatan. Namun jodoh mereka tamat apabila lelaki terbabit meninggal dunia sembilan tahun lalu.

Hasil perkahwinan pertamanya Maria dikurniakan empat cahaya mata yang kini berusia antara 15 hingga 22 tahun.

Pernah rasa keliru

Cuma semua anak Maria tidak bersamanya di sini, sebaliknya menetap di Filipina. Ibu Maria yang menjaga mereka.

“Memang mereka tidak mengikut saya memeluk Islam, tetapi saya sangat bersyukur kerana mereka boleh menerima saya dan dunia saya sekarang,” katanya sambil tersenyum.

Maria turut berkata, ketika mula-mula menganut Islam, beliau sempat pulang ke Filipina untuk memaklumkan kepada keluarga mengenai agama barunya.

Di sebalik rasa bimbang dan ragu-ragu, Maria malah terkejut. Keluarganya sangat terbuka menerima berita itu dan itu membuatkan dia terus bersemangat untuk mendalami Islam.

“Menjadi orang Islam sangat membahagiakan. Saya pulang ke kampung saya di Filipina dan memberitahu mereka yang menukar agama.

"Alhamdulillah mereka menerimanya dengan baik," katanya.

Sehingga kini Maria masih tekun mendalami Islam dan dia tidak ada sebarang cadangan mengubah kesungguhan itu.

Hasilnya, buat masa ini dia sudah boleh membaca beberapa surah pendek al-Quran.

Maria ditemui Malaysiakini ketika mengikuti kelas pendidikan Islam kelolaan Islamic Outreach ABIM Center (IOAC) dan Masjid Negara di Kuala Lumpur.

Sebagai 'orang baru' dalam Islam, Maria mengakui dia agak keliru sesekali apabila mendapat ada Muslim yang tidak beramal dengan agama sepenuh hati.

Maria berasa musykil kerana dia sendiri dapat merasai nikmat Islam itu dan tertanya-tanya mengapa masih ada orang yang memilih cara hidup yang lain.

Hanya selepas mengikuti kelas agama di IOAC, dia mula faham mengapa keadaa itu terjadi.

“Menjadi Islam, saya belajar melihat bagaimana Islam itu. Ia sangat indah.

“Semuanya indah - daripada kehidupan seharian, solat, wuduk dan sebagainya.

"Saya tak tahu macam mana nak terangkan tapi Islam sangat indah,” katanya bersungguh-sungguh.


Tulisan ini bahagian pertama daripada siri kisah perjalanan rohani memeluk Islam yang akan disiarkan Malaysiakini sempena Ramadan. Jika anda mempunyai kisah menarik untuk dikongsi, sila hubungi wartawan kami Anne Muhammad melalui e-mel [email protected]. – Editor

Lihat Komen
ADS