Pemuda Gerakan gesa HARAPAN namakan calon PM

   

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang menuntut Pakatan Harapan mengumumkan calon perdana menteri mereka pada pilihan raya umum akan datang.

Ini berikutan keputusan pemimpin de facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak menawarkan dirinya sebagai calon perdana menteri bagi gabungan itu.

"Adakah pilihan mereka kini bekas perdana menteri kita, (Tun) Dr Mahathir Mohamad?

"Tidak ada alasan bagi mana-mana gabungan politik untuk menyembunyikan maklumat ini daripada para pengundi," kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, soal calon perdana menteri adalah "perkara penting dan asas" yang akan diputuskan oleh sesebuah gabungan politik sebelum bertanding dalam pilihan raya umum.

"Bagaimanakah pakatan politik memimpin sebuah negara apabila mereka tidak dapat membuat keputusan untuk menetapkan perdana menteri?"

Pengundi, katanya, mempunyai hak untuk mengetahui siapa yang akan dipilih sebagai perdana menteri sekiranya gabungan politik itu memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Tidak ada sebab untuk HARAPAN terus menyembunyikan identiti perdana menteri mereka jika mereka mempunyai calon yang baik.

"Kami mendesak HARAPAN telus dan mengumumkan perdana menteri yang telah ditetapkan mereka memandangkan penarikan diri Anwar," katanya.

[Baca berita penuh]

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda