Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengarah KEMAS didakwa terima rasuah hampir RM160,000
Diterbitkan:  Jun 18, 2017 2:32 PM
Dikemaskini: 6:39 AM

Pengarah Bahagian Pembangunan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Putrajaya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Alor Setar hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM159,053.22 membabitkan dua pertuduhan.

Mohd Adnan Md Daud, 54, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan kepadanya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh melakukan kesalahan itu ketika bertugas sebagai Pegawai Pembangunan Kemas Selangor, didakwa menerima suapan RM73,000 daripada Sah Hizam Halim bagi melantik syarikat milik Sah Hizam iaitu Perniagaan Naluri Pertama menjalankan kerja membekal susu tepung kepada Tabika dan Taska PERMATA.

Tertuduh juga melantik syarikat Alpha Elite Resource yang juga milik Sah Hizam untuk menjalankan kerja membekal serbuk malt coklat kepada Tabika dan Taska PERMATA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Alor Setar pada 14 Disember tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Adnan didakwa menerima rasuah berjumlah RM86,053.22 daripada Sah Hizam bagi melantik lima syarikatnya, iaitu Perniagaan Naluri Utama, One Blue Diamond Enterprise, Golden North Enterprise, Malbery Enterprise dan LD Dinamik Enterprise bagi kontrak pembekalan pelbagai barangan untuk Tabika.

Iaitu syarikat Perniagaan Naluri Utama mendapat kontrak membekalkan biskut jenama Jacob dan susu tepung ke Tabika.

Syarikat One Blue Diamond mendapat kontrak membekalkan makanan tambahan, syarikat Golden North membekalkan bijirin Koko Krunch jenama Nestle, Malbery Enterprise pula membekalkan biskut untuk Tabika.

Syarikat LD Dinamik pula mendapat kontrak membekalkan Koko Krunch dan makanan tambahan untuk Tabika.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu pada 7 Januari 2015 di Maybank Alor Setar.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM A. Hafiizh Abu Bakar menawarkan jaminan RM100,000 dan seorang penjamin, bagaimanapun wakil kepada peguam tertuduh Abdul Hadi Ahmad memohon agar jaminan dikurangkan memandangkan tertuduh perlu menyara lapan anak, seorang daripadanya bayi berusia 55 hari.

Malah akaun bank tertuduh juga sudah dibekukan sejak lima bulan lalu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan dia diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 31 Julai sebagai tarikh sebutan kes.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS