Kerusi Pujut: S'wak rayu di mahkamah persekutuan

       

Ketua Menteri Sarawak berkata Barisan Nasional (BN) negeri akan merayu ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengisytiharkan sebagai batal dan tidak sah pelucutan kelayakan Dr Ting Dr Tiong Choon sebagai ahli dewan undangan negeri (Adun) Pujut oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri menghormati keputusan Mahkamah Tinggi tetapi akan merayu di Mahkamah Persekutuan.

"Kami akan umumkan keputusan (merayu). Mahkamah (hakim Mahkamah Tinggi) lebih memfokus kepada perkara undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Hari Raya kepada 400 penerima pada Program Ihsan Ramadan Satok di Kuching hari ini.

Abang Johari bagaimanapun berkata beliau tidak tahu bila rayuan akan difailkan kerana ia perlu dibincangkan dengan Peguam Negeri terlebih dahulu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Douglas Cristo Primus Sikayun semalam memutuskan sebagai tidak sah keputusan DUN itu melucutkan kelayakan Dr Ting sebagai Adun Pujut pada 12 Mei, atas alasan beliau mempunyai dua kerakyatan (Malaysia dan Australia).

Mahkamah mengembalikan kedudukan Dr Ting sebagai Adun Pujut, dan pilihan raya kecil tidak akan diadakan.

Hakim juga mengarahkan speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Menteri Kewangan Kedua Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh, selaku defendan pertama dan kedua membayar RM100,000 kepada plaintif (Dr Ting) sebagai kos mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata kerajaan Negeri sedang berunding dengan AirAsia untuk membina terminal tambang murah dekat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA).

Ketua Menteri berkata beliau tidak tahu kos dan bila projek itu akan dilaksanakan kerana ia masih di peringkat rundingan.

Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda