Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR 'jumpa' 7 akaun Twitter, laman web burukkan Rosmah
Diterbitkan:  Jun 19, 2017 1:32 PM
Dikemaskini: 6:27 AM

PKR mengenal pasti tujuh akaun Twitter dan laman web yang secara jelas cuba mengaitkan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor PM dengan skandal 1MDB.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, jika tulisan dalam akaun Twitter dan laman web berkenaan adalah fitnah, Rosmah perlu menghubungi para pengendali akaun Twitter dan laman web itu untuk mendesak pembetulan berita atau tweet mereka.

"Pada masa yang sama, saya terpanggil mengingatkan peguam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyaman Wall Street Journal yang sehingga hari ini beliau masih belum melakukan sedemikian," katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, tujuh akaun Twitter dan laman web itu ialah :

1. Twitter AJ+

2. Twitter Tom Wright (Wall Street Journal)

3. Twitter Reuters

4. Twitter Bradley Hope (Wall Street Journal)

5. Laman web The New York Times (US)

6. Laman web The Guardian (UK)

7. Laman web The Straits Times (Singapura)

Dua hari yang lalu, Rosmah mengarahkan peguamnya untuk memantau media sosial berkaitan "serangan dan tuduhan palsu" terhadap beliau.

Menurut firma undang-undang Noor Hajran Mohd Noor, peguam mereka "memantau semua catatan dalam mana-mana platform media sosial dan sebarang bentuk penerbitan lain berkaitan serangan palsu dan berniat jahat" terhadap anak guamnya itu.

"Baru-baru ini, lebih banyak serangan yang berniat jahat dan tidak berasas muncul dan dibuat terhadap Rosmah di blog dan media sosial.

"Serangan ini adalah tuduhan palsu yang dibuat tanpa sebarang bukti dan/atau asas, dilakukan dengan niat jahat semata-mata untuk memburuk-burukkan nama baik Rosmah atas dakwaan salah laku yang menjejaskan reputasi beliau," kata firma itu dalam kenyataan.

Noor Hajran Mohd Noor berkata, mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa sebarang notis.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kesemua akaun Twitter dan laman-laman web berkenaan mempunyai pengaruh yang besar, bersifat antarabangsa, berkredibiliti dan diikuti oleh ramai pengikut.

"Orang ramai yang membaca tulisan mereka berkemungkinan akan mempercayai bahawa tulisan-tulisan tersebut adalah berasaskan fakta dan adalah benar.

"Mungkin langkah yang lebih efektif ialah Peguam Negara menghantar delegasi untuk memberi kerjasama penuh dalam kes yang dibawa DOJ ini atau Peguam Negara membuka semula kes 1MDB dan membawanya ke mahkamah," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS