ANAK yakin SPRM tetap siasat Isa Samad

   

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK), Mazlan Aliman berkata, pihaknya berharap siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) tidak akan 'terganggu' dengan perkembangan hari ini.

Sambil menyatakan 'kelegaan' atas peletakan jawatan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku pengerusi FGV, Mazlan berkata, pihaknya penuh yakin SPRM sedang melengkapkan siasatan dan bakal mengheret perilaku rasuah ke muka pengadilan.

"ANAK mengulangi gesaan agar audit pengurusan dilakukan di sepanjang khidmat Isa sejak 1 Januari 2011 dan juga FGV.

"Ia bagi memastikan dakwaan kehilangan berbilion wang Felda dapat disiasat dan tindakan sewajarnya dapat diambil kepada mereka yang terlibat," kata beliau dalam kenyataan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mengesahkan Isa bersetuju melepaskan jawatannya sebagai pengerusi FGV yang dibuat dengan rela hati.

Pada masa yang sama, Najib turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku pengerusi firma perladangan tersebut.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Isa juga harus melepaskan jawatan pengerusi Felda Investment Corporation(FIC), pengerusi Yayasan Felda dan kesemua jawatan dalam anak anak syarikat di Felda maupun FGV.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pelantikan Sulaiman dan berharap penggantungan jawatan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad dikaji semula.

"Ia diharap boleh membantu plan pemulihan FGV demi keyakinan pelabur dan kepentingan masyarakat Felda," jelas Mazlan lagi.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda