Zakaria lantik Shafee peguam penasihat

   

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad melantik Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai peguam penasihat.

Dalam kenyataan petang ini, Zakaria berkata, Shafee akan menjadi penasihat untuk berdepan siasatan dalaman yang ditubuhkan bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad.

Ia susulan dakwaan beliau terbabit dengan salah laku dalam urus niaga membabitkan syarikat Safitex kepada Delima Oil Products Sdn Bhd, anak syarikat FGV.

"Berhubung dengan siasatan dalaman yang ditubuhkan Isa, saya yakin akan dibuktikan tidak bersalah dan dengan ini, saya melantik Muhammad Shafee sebagai penasihat undang-undang bagi menguruskan perkara ini (dakwaan salah laku)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga menyambut baik pelantikan bekas Pengerusi Telekom, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV, berikutan peletakan jawatan serta merta Isa Samad.

Isa dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), menggantikan Syed Hamid Albar yang baru-baru bersara.

Sebelum ini, Isa menuduh Zakaria terbabit dalam salah laku dan membentuk siasatan dalaman terhadapnya selepas Zakaria enggan meletak jawatan.

Zakaria dituduh melakukan salah laku dalam mengendalikan urusan antara anak syarikat FGV, Delima Oil Sdn Bhd dan Safitex.

Anggota lembaga pengarah FGV mengarahkan Zakaria dan tiga yang lain mengambil cuti sementara menunggu keputusan siasatan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga sedang menyiasat FGV dan telah hadir ke pejabatnya bagi merampas dokumen berkaitan awal bulan ini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda