Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
AMANAH cabar Rahman dedah identiti MO1 sekali lagi

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan dicabar mengulangi kenyataan beliau pada Ogos 2016 bahawa "tidak ada misteri tentang Malaysian Official 1 (MO1) dan hanya orang bodoh tidak tahu siapa orang itu".

Cabaran itu dibuat Parti Amanah Negara (AMANAH) ekoran pendedahan terbaru Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mengenai MO1.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, berkata sikap membisu ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor memberi kesan besar kepada integriti dan kewibawaan urus tadbir negara.

"Saya ingin membuat penegasan bahawa anggota kabinet harus melakukan sesuatu seperti pernah dilaporkan, antaranya oleh Rahman dalam kenyataannya pada 7 Ogos 2016 yang membuat kenyataan: hanya orang bodoh saja tak tahu siapa MO1.

"Sekarang kita nak cabar beliau - dengan pendedahan terbaru DOJ baru-baru ini - adakah sekali lagi Rahman berani menyatakan orang itu adalah Najib?

"Beliau juga seorang anggota kabinet yang harus bertanggungjawab terhadap apa yang dikatakan salah laku dalam urus tadbir negara yang sangat besar kesannya," kata Salahuddin pada sidang media di Wisman AMANAH di Kuala Lumpur hari ini.

Tunggu apa lagi

Ogos tahun lalu, Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan berkata bukanlah rahsia mengenai siapakah MO1 yang disebut dalam saman sivil DOJ Amerika Syarikat.

Katanya, setiap orang yang membaca dokumen-dokumen mahkamah atau mengetahui isu berkenaan akan tahu siapa orang yang sedang dirujuk.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata apa yang dilaporkan hari ini cukup untuk rakyat mendesak sesuatu perlu dilakukan segera demi menyelamatkan maruah negara.

"Dengan liputan antarabangsa hari ini, isu tersebut tidak boleh dibiarkan dengan hanya membisu dan mengelak soalan daripada wartawan kerana ia sangat memberi kesan kepada maruah rakyat Malaysia.

"Sikap membisu ini tidak boleh memberi apa-apa faedah dan keuntungan. Najib, Rosmah dan peguam negara harus memberikan satu jawapan tegas dalam isu ini.

"Dalam konteks ini saya tidak tahu apa lagi yang mereka mahu tunggu," tegas Salahuddin.

Dalam pemfailan DOJ sejak tahun lalu, nama Najib tidak disebut secara langsung, tetapi pihak penyiasat AS merujuk kepada seorang individu sebagai "Malaysian Official 1" yang dikatakan mempunyai pertalian dengan Riza Aziz iaitu anak tirinya yang turut dinamakan secara langsung.

Pemfailan terbaru DOJ pada Khamis lalu pula, selain menyebut nama ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low dan Riza, turut merujuk kepada "isteri MO1".

Lihat Komen
ADS