Paling Popular
Terkini

Kerajaan Pulau Pinang diberi tempoh seminggu untuk menjawab dakwaa mereka memberikan bayaran berlebihan kepada perunding projek pembinaan jalan laluan dasar laut di negeri itu.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata jika gagal pasukannya akan mengemukakan dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita beri masa seminggu, biar mereka sambut hari raya dulu.

"Kami mahu berikan mereka peluang menjawab. Kami tak mahu mereka menuduh kita (BN) memangsakan mereka," katanya pada sidang media di Cyberjaya hari ini.

Pasukan komunikasi strategik BN hari ini memetik maklumat diperolehi daripada Lembaga Jurutera Malaysia yang mendakwa kerajaan Pulau Pinang membuat bayaran empat kali ganda lebih tinggi berbanding kadar maksimum diwartakan untuk reka bentuk tiga laluan menghubungkan terowong dasar laut dicadangkan di negeri itu.

Pulau Pinang dikatakan membayar RM177.5 juta bagi tiga reka bentuk berkenaan ketika Lembaga Jurutera Malaysia berpendapat kos sepatutnya hanya RM41 juta.

Angka itu diambil daripada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Pulau Pinang.

Abdul Rahman berkata, beliau tidak menuduh Pulau Pinang melakukan rasuah, namun menegaskan kegagalan menjawab persoalan dibangkitkan itu mungkin menyebabkan tanggapan umum begitu kepada kerajaan negeri.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy, menafikan dakwaan Abdul Rahman.

"Setakat yang diketahui bayaran khidmat rundingan itu selaras dengan permohonan awal untuk projek berkenaan.

"Bayaran itu dianggap berpatutan dan lebih rendah berbanding 10 hingga 15 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan

"Bayaran itu hanya kira-kira 5.5 peratus daripada jumlah sepatutnya," kata Ramasamy kepada Malaysiakini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS