Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dalam usaha menghalang penipuan pilihan raya, Rafizi Ramli menyarankan pemilih di kawasan kubu kuat pembangkang untuk tidak mengundi, sebaliknya menjadi sukarelawan ejen pengundian dan ejen pengiraan (Paca) di kerusi yang berpotensi dirampas daripada BN.

Katanya, beberapa kawasan seperti Pandan dan Seputeh - yang masing-masing dimenangi PKR dan DAP dengan majoriti antara 20,000 hingga 30,000 - sukar untuk ditembusi BN walaupun dengan membawa masuk puluhan ribu pengundi hantu.

"Saya dengan ini mengalakkan anda membuat keputusan untuk tidak mengundi dalam pilihan raya umum kali ini, sebaliknya menjadi Paca untuk bertugas di kawasan-kawasan luar.

"Saya menggesa seramai mungkin pengundi di kubu kuat Pakatan Harapan untuk mendaftar sebagai Paca lebih awal supaya kami boleh menyesuaikan mereka di kerusi marginal (yang berpotensi dirampas daripada BN) sekarang," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga menjelaskan sukarelawan terbabit juga mungkin boleh ditugaskan di kawasan berhampira tempat mereka mengundi dan masih berpeluang membuang undi pada hari pilihan raya berlangsung.

Sebagai contoh, kata Rafizi, pengundi Petaling Jaya Utara mungkin boleh ditempatkan memantau kawasan Setiawangsa pada tempoh tertentu dan mengundi selepas bertugas.

Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata, pertubuhan yang diasaskannya, Invoke, mengadakan sesi latihan kepada sukarelawan Paca secara mingguan di seluruh Semenanjung Malaysia sejak Januari tahun ini.

Masa terjemah perasaan

Namun, katanya, Invoke hanya mampu melatih seramai 978 orang kerana kekurangan sukarelawan berbanding anggaran 20,000 yang diperlukan untuk memantau 50 kerusi marginal.

"Saya harap dalam tempoh terhad ini Invoke boleh melatih 20,000 orang Paca di seluruh negara dalam tempoh empat bulan akan datang," katanya.

Sementara itu pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya, BERSIH, menyatakan rasa terkejut mereka dengan cadangan Rafizi.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, berkata Rafizi tidak berhak membuat keputusan bagi pihak pengundi.

"Pengundi tidak sepatutnya diambil mudah, sama ada di kerusi yang dimenangi dengan majoriti besar atau kecil.

"Setiap warganegara perlu memandang serius hak perlembagaan mereka untuk mengundi, terutama pada pilihan raya umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Maria, seseorang pengundi masih boleh menjadi sukarelawan dan tetap mengundi.

Katanya, penipuan pilihan raya juga tidak hanya berlaku di peringkat Paca tetapi turut membabitkan persempadanan semula kawasan dan sukarelawan boleh menyumbang untuk mengekangnya.

"Demokrasi dilindungi bukan hanya dengan pengundian tetapi oleh rakyat yang mengambil bahagian secara aktif," katanya.

Pengundi yang kecewa atau marah dengan keadaan rasuah dan salah guna kuasa pula, katanya, boleh menterjemah perasaan itu melalui undi.

"Pilihan raya adalah waktu untuk kita menghantar mesej jelas kepada rejim pemerintah - berubah atau disingkirkan," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS