Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sabar hadapi sebarang dugaan, kata Najib
Diterbitkan:  Jun 21, 2017 11:37 AM
Dikemaskini: 3:40 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengajak umat Islam agar terus mengamalkan sifat sabar dalam mengharungi sebarang dugaan ketika Ramadan hampir ke penghujungnya.

Katanya, dugaan adalah satu ujian untuk menilai sejauh mana kesabaran dan keimanan dengan berpuasa pada Ramadan sedikit sebanyak mendidik sifat sabar dalam hati dan diri individu.

"Menahan lapar dan dahaga sebagaimana yang dirasai golongan yang kurang bernasib baik memerlukan nilai kesabaran yang tinggi, begitu juga dalam melakukan ibadah sunat sepanjang bulan Ramadan.

"Bayangkan betapa mulianya sifat sabar ini apabila ada 43 ayat yang menjelaskan mengenai kesabaran dalam al-Quran," katanya dalam catatan terbaru di blog, hari ini.

Nasihat Najib itu dibuat ketika Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat minggu lalu memfailkan saman sivil terbaru berkaitan dana 1MDB yang diseleweng yang turut menyebut tentang Malaysian Official 1 (MO1).

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman mengesahkan bahawa MO1 yang dinamakan dalam saman pertama DOJ pada tahun lalu adalah Najib.

Dalam kenyataan terbarunya semalam, DOJ mendakwa sebahagian daripada wang AS$620 juta yang didakwa oleh MO1 kononnya telah dipulangkan kepada "penderma" beliau telah digunakan untuk membeli loket berlian 22 karat dan rantai leher untuk isteri MO1 pada harga kira-kira AS$27.3 juta.

DOJ juga menuduh ahli perniagaan Jho Low membeli 27 rantai leher emas 18 karat lain dan gelang tangan untuk isteri MO1, bernilai sebanyak AS$1.3 juta.

Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan menuduh dakwaan itu dibuat oleh mereka yang berkomplot untuk menggulingkan beliau daripada kuasa.

Peguam Negara Mohamed Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Menulis lanjut, Najib berkata, sabar juga adalah satu sifat yang disukai oleh Allah SWT.

Sambil memetik kisah perjuangan Rasulullah SAW dalam memperjuangkan syiar Islam, beliau berkata banyak cabaran, cacian dan tentangan yang baginda hadapi tetapi berkat kesabaran, Islam berjaya disebarkan.

"Justeru, saya harap sama-samalah kita mengambil inspirasi akan kesabaran Rasulullah SAW dalam menghadapi dugaan kerana Allah SWT menjanjikan kemenangan kepada mereka yang bersabar," katanya.

Lihat Komen
ADS