Paling Popular
Terkini

Pada satu masa, kesunyian malam telah dipecahkan oleh gosip - seorang pemimpin Umno telah meninggalkan parti itu, dan sebuah parti baru telah dilahirkan.

Ia, pada masa itu, telah menimbulkan persoalan serius di kalangan pemimpin pembangkang.

Adakah entiti baru ini hanya merupakan sebuah parti serpihan Umno? Bolehkah musuh lama mereka itu dipercayai?

Ini adalah keraguan yang disuarakan oleh DAP dan PAS hampir 20 tahun yang lalu apabila timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Umno dan menubuhkan PKR, kata seorang pemimpin parti.

Hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad - orang yang menyebabkan terkeluarnya Anwar dari Umno - berdepan dengan masalah sama ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berunding dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan lain mengenai masa depan bersama mereka.

Ironinya, kini PKR yang terutamanya di kalangan mereka yang masih waspada untuk bekerjasama dengan dengan bekas perdana menteri itu dan parti barunya.

Mahathir, yang merupakan pengerusi BERSATU, dalam satu temu bual baru-baru ini mengeluh bahawa ketidakpercayaan terhadapnya telah menyebabkan tertangguhnya rundingan mengenai jawatankuasa protem HARAPAN, terutama tentang sama ada untuk memberinya satu kedudukan dalam pakatan itu dan sama ada dia sepatutnya mempunyai kuasa eksekutif.

"PKR mempunyai sejarah yang sama. Apabila ditubuhkan, kita dilihat sebagai kumpulan serpihan Umno yang diketuai oleh Anwar, dan wujud ketidakpercayaan yang sama terhadap kami oleh DAP dan PAS," kata naib presiden PKR, Tian Chua, tokoh utama dalam gerakan Reformasi Anwar pada lewat 90-an.

"Adakah Anwar akan kembali kepada Umno jika semuanya gagal? Adakah kita benar-benar komited kepada politik pelbagai kaum?

"Ini adalah soalan-soalan yang ditanya. Jadi saya boleh faham mengapa ini berlaku kepada BERSATU," kata Chua kepada Malaysiakini.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu itu yakin bahawa dengan perbincangan berterusan, konsensus dan kepercayaan bersama boleh dicapai di antara semua parti dalam HARAPAN termasuk BERSATU.

Tetapi isu apa nak buat dengan Mahathir - musuh PKR selama 17 tahun - masih menjadi persoalan rumit.

Malaysiakini difahamkan bahawa dalam PKR, terdapat dua aliran pemikiran utama mengenai perkara ini.

Walaupun kedua-dua kem bersetuju bahawa HARAPAN harus memanfaatkan kedudukan Mahathir, namun penyokong setia Anwar tidak bersetuju bekas perdana mantan itu diberi peranan eksekutif.

Seorang pemimpin yang berkongsi pandangan ini adalah ahli Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul, yang percaya tidak perlu "mengunci" Mahathir pada jawatan seumpama itu.

Johari berkata Mahathir boleh beroperasi sama seperti Anwar dalam PKR, sebagai ketua de facto.

"Jawatan (ketua de facto) tidak wujud dalam perlembagaan parti kami," katanya tetapi menambah bahawa Anwar mampu mengerahkan pengaruhnya dalam parti itu.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata mereka menjangkakan Mahathir melakukan perkara yang sama dan merasakan beliau sepatutnya menjadi penasihat.

Strategis BERSATU, Datuk Rais Hussin Mohamed Ariff pada mulanya keberatan untuk bercakap mengenai rundingan HARAPAN yang sedang berlangsung.

Tetapi apabila ditekan sama ada parti itu akan menerima Mahathir diberi peranan bukan eksekutif, Rais menegaskan tentang perlunya kepimpinan yang kuat.

"Apabila anda berada dalam kedudukan kepimpinan, anda mesti diberi kuasa. Sekiranya anda tidak diberi kuasa, anda tidak boleh menjadi pemimpin

"Anda tidak boleh mempunyai pengerusi bukan eksekutif untuk memimpin. Tidak kira bagaimana anda mahu meletakkannya, anda masih memerlukan seseorang dengan cukup kuasa untuk memimpin," katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata sebarang keputusan mengenai kepimpinan HARAPAN mesti dilakukan secara konsensus.

Beliau juga menegaskan tentang keperluan mekanisme semak dan imbang, supaya kuasa tidak tertumpu pada hanya satu orang.

Pada masa ini, BERSATU mahu Mahathir menjadi pengerusi HARAPAN dan telah bersetuju isteri Anwar yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi presiden pakatan itu.

Bagaimanapun, PKR masih belum bersetuju dengan perkara itu kerana mereka perlu berunding dengan Anwar.

Apakah arah rundingan HARAPAN seterusnya masih belum jelas, tetapi satu perkara yang pasti, semua parti memberi tumpuan kepada keperluan untuk menyelesaikannya secepat mungkin, supaya mereka boleh focus kepada kempen untuk menawan Putrajaya dari BN pada pilihan raya umum akan datang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS