Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penting untuk kekalkan integriti bank pusat, kata BNM
Diterbitkan:  Jun 22, 2017 12:38 PM
Dikemaskini: 5:40 AM

Bank Negara Malaysia hari ini menekankan pentingnya memelihara integriti bank pusat, berikutan keputusan kabinet untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal pertukaran asing yang berlaku sekitar pada tahun 1980-an.

"Bank pusat akan memberi kerjasama penuh kepada suruhanjaya itu dalam membekalkan maklumat seperti yang dikehendaki mengikut undang-undang.

"Adalah penting untuk dinyatakan bahawa di mana-mana negara, legitimasi, integriti dan kredibiliti bank pusat adalah penting dalam memelihara keyakinan orang ramai dalam mengekalkan sistem kewangan yang kukuh dan ekonomi yang stabil," katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata bahawa RCI itu akan "menyelesaikan segala peristiwa yang berlaku lebih daripada 25 tahun lalu", tidak akan mengalihkan perhatian pihak bank daripada menjalankan tugasnya.

"Kami teguh dalam menjaga kestabilan kewangan dan sistem kewangan negara, serta kelancaran fungsi sistem pembayaran," katanya.

Pejabat Perdana Menteri semalam berkata kabinet memberi kelulusan keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi membolehkan siasatan terhadap kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1980-an dan 1990-an diteruskan.

Keputusan itu dibuat selepas Pasukan Petugas Khas (PPK) yang ditubuhkan bagi menyiasat kerugian tersebut, mendapati terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan jemaah menteri dan parlimen.

PPK juga mendapati kerugian yang ditanggung oleh Bank Negara adalah lebih besar daripada yang dilaporkan kepada parlimen dan kabinet.

Pasukan petugas yang diketuai bekas ketua setiausaha Tan Sri Sidek Hassan menyiasat perkara itu dari bulan Februari hingga Mei dan menyerahkan laporannya semalam.

Isu itu dibangkitkan semula tahun ini apabila penyokong BN membandingkan skandal 1MDB dengan skandal forex, yang berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri.

Mahathir, yang kini menerajui BERSATU, adalah pengkritik paling lantang 1MDB dan kerajaan.

Mahathir dalam temu bual bersama Channel News Asia yang diterbitkan semalam berkata bahawa beliau tidak terlibat dalam skandal forex itu.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS