Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RCI forex: Tiada yang akan puji kabinet, kata Kit Siang
Diterbitkan:  Jun 22, 2017 1:57 PM
Dikemaskini: 6:00 AM

Selepas lebih dua dekad, ahli parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang akhirnya mendapati permintaan dikabulkan - sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian pertukaran asing (forex) Bank Negara yang berlaku sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.

Walau bagaimanapun, Lim tidak teruja.

Beliau berkata keputusan terbaru kabinet itu tidak akan membantu negara, sebaliknya memburukkan lagi nama Malaysia kerana Putrajaya mengabaikan isu-isu yang lebih mendesak dan terbaru seperti skandal 1MDB dan kemelut Felda Global Ventures (FGV).

"Reaksi rakyat dan dunia kepada berita bahawa kerajaan bersetuju menubuhkan sebuah RCI bagi menyiasat skandal forex: 'Mengapa bukannya RCI mengenai skandal 1MDB dan FGV? Apakah RCI akan ditubuhkan bagi meneliti skandal Scorpene?'," kata Lim dalam satu kenyataan.

Beliau berpendapat bahawa skandal forex ibarat "bangkai gajah" manakala skandal 1MDB dan kemelut FGV pula umpama "gajah di dalam bilik" bagi kerajaan.

Kabinet semalam memutuskan penubuhan RCI berikutan cadangan oleh pasukan petugas khas yang telah diamanahkan untuk mengumpul bukti mengenai kerugian tukaran mata wang asing Bank Negara.

Pejabat Perdana Menteri berkata bahawa penubuhan RCI akan membolehkan siasatan yang lebih terperinci dan menyeluruh mengikut undang-undang.

Ia berkata pasukan petugas khas juga mendapati kerugian yang ditanggung oleh Bank Negara adalah lebih besar daripada yang dilaporkan kepada parlimen dan kabinet.

Lim, sebelum ini berharap bahawa kabinet akan bertindak balas terhadap saman Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat yang mahu merampas aset berkaitan 1MDB ketika mesyuarat jemaah menteri, semalam.

"Sebaliknya, kabinet memilih laluan pengecut - menarik perhatian dunia bukan untuk keberanian dan keyakinan mereka, tetapi untuk ketidakupayaan mereka membezakan apa yang betul dan salah,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS