Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
8,800 warga TNB bertugas sepanjang Aidilfitri
Diterbitkan:  Jun 22, 2017 3:10 PM
Dikemaskini: 7:19 AM

Lebih satu perempat daripada warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau 8,800 petugas dan sebilangan pekerja kontraktornya akan bertugas sepanjang perayaan Aidifitri bagi memastikan kelancaran bekalan elektrik demi keselesaan pengguna menyambut Syawal.

Mereka akan bertugas secara tunggu sedia 24 jam bermula esok, kata Pengurus Besar Kanan Rangkaian Pengagihan, Bahagian Pembahagian TNB Wan Nazmy Wan Mahmood.

"TNB membuat persiapan awal bagi meminimumkan sebarang kemungkinan berlakunya gangguan bekalan elektrik sepanjang musim perayaan ini termasuk membuat pemeriksaan di semua stesen janakuasa dan pencawang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, penambahbaikan kepada sistem pencawang bagi menampung jangkaan beban yang meningkat di sesetengah kawasan juga dilaksanakan.

"Lebih 60 set janakuasa bergerak dengan kapasiti antara 125 KVA hingga 1,250 KVA juga berada dalam keadaan siap sedia untuk digunakan sebagai punca bekalan alternatif, bergantung kepada keperluan," katanya.

TNB, katanya, menyerahkan permohonan menggunakan kenderaan berat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan negeri bagi membolehkan kenderaan TNB menggunakan lebuh raya ketika tempoh larangan sepanjang musim perayaan nanti.

Wan Nazmy juga menasihatkan pengguna untuk menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB Careline untuk mendapatkan bantuan sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik sepanjang perayaan Aidilifitri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS