Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu roboh resort, mahkamah batal saman Jamal
Diterbitkan:  Jun 22, 2017 3:26 PM
Dikemaskini: 8:18 AM

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman yang dikemukakan oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos terhadap kerajaan negeri Selangor dan dua lagi kerana menyita dan merobohkan sebahagian premis Sekin Fisherman Village Hotel & Resort yang dimilikinya.

Hakim Syed Faisal Syed Amir turut memerintahkan Jamal membayar kos RM6,000 kepada semua defendan - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam serta kerajaan Selangor.

Menurut pernyataan tuntutan, Jamal mendakwa tindakan menyita dan meroboh sebahagian resort terbabit adalah bersifat politik.

Oleh itu, beliau antara lain menuntut ganti rugi sebanyak RM140,000 dan perintah menghalang defendan menutup operasi resort terbabit.

Sebelum ini, Jamal mendakwa tindakan terhadap resortnya itu dibuat susulan 'bantahan bertualanya' terhadap gangguan bekalan air di Selangor pada Disember tahun lalu.

Beliau turut membawa gayung, berus gigi dan sabun sebagai protes terhadap kerajaan negeri yang didakwanya gagal mengurus masalah air di negeri itu.

Bagaimanapun ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata perobohan berkenaan tidak ada kena mengena dengan bantahan yang dibuat oleh Jamal, tetapi kerana resort itu beroperasi secara tidak sah.

Pemimpin Umno itu memfailkan saman tersebut pada 28 Disember tahun lalu.

Lihat Komen
ADS