Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
82,054 saman dikeluarkan menerusi Awas
Diterbitkan:  Jun 22, 2017 4:53 PM
Dikemaskini: 8:56 AM

Sebanyak 82,054 keping saman telah dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) atau sebelum ini yang dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) bagi tempoh 15 April hingga 19 Jun tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata menerusi jumlah itu kesalahan had laju mencatatkan rekod tertinggi iaitu 72,806 kes, diikuti kesalahan lampu isyarat sebanyak 9,248 kes.

Katanya daripada jumlah saman yang dikeluarkan itu juga sebanyak 6,535 telah diselesaikan para pemilik yang dikenakan tindakan.

"Kesemua kesalahan ini dicatatkan dalam tempoh kira-kira dua bulan bermula 15 April hingga 19 Jun tahun ini melibatkan jumlah RM 976,200 hasil saman Awas seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Ops Selamat di Plaza Tol Ajil, di Hulu Terengganu semalam.

Menurutnya sehingga kini sebanyak 21 kamera AES telah dipasang di seluruh negara dan termasuk tujuh yang dipasang pada musim perayaan ini di lokasi dikenal pasti sering berlaku kemalangan maut.

Katanya, dua daripadanya dipasang di laluan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2 ) di KM 256.1 Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Cheneh dan di KM 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 berhampiran Chukai.

Wan Ahmad Uzir berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur kepada pengguna yang melakukan kesalahan seperti langgar lampu merah, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, (memandu melebihi) had laju, menggunakan lorong kecemasan dan tidak memakai tali pinggang keledar.

"Pada musim perayaan ini tindakan maksimum sebanyak RM300 akan dikenakan jika dikesan melakukan kesalahan tersebut manakala RM150 dikenakan pada luar musim perayaan.

"Kita telah memberi amaran awal dengan meletakkan tanda amaran awal bagi memberikan kesedaran kepada pengguna supaya mereka lebih berhati-hati khususnya di kawasan yang kerap berlaku kemalangan... jika mereka masih gagal mematuhi had laju yang ditetapkan mereka yang sengaja mencari masalah,"katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan Wan Ahmad Uzir berkata sebanyak 231 lokasi panas telah dikenal pasti di seluruh negara sepanjang musim perayaan ini.

Katanya daripada jumlah itu negeri Johor merekodkan kawasan panas paling tinggi iaitu 36 lokasi panas dan Batu Pahat mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi.

Manakala di Terengganu sebanyak 21 lokasi berisiko telah dikenal pasti antaranya di KM6- KM11 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kuala Terengganu), KM98-KM114 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (Besut) dan KM247-KM260 LPT 2 (Kemaman).

Beliau berkata pihaknya juga meneruskan Ops Penyamaran dengan meletakkan para pegawai dan anggota mereka di dalam bas ekpress pada musim perayaan ini.

"Sepanjang musim perayaan ini juga sebanyak 2,531 bas telah diperiksa dan sebanyak 136 saman atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, tiada lesen vokasional dan kesalahan teknikal.

"Selain melakukan pemeriksaan teknikal seperti brek, tayar dan sebagainya kita turut bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi melakukan saringan ujian air kencing terhadap pemandu bas," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS