Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadillah kesal syarikat konsesi cuba guna nama kementerian

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof kesal bahawa syarikat konsesi yang ditawarkan projek terowong dasar laut dan tiga projek jalan utama bernilai RM6.34 bilion cuba menggunakan nama kementerian dan nama beliau untuk mempertahankan diri berhubung isu terlebih bayar bayaran perunding.

Fadillah dalam satu kenyaaan semalam berkata beliau dalam beberapa kenyataan sejak tahun lepas mengingatkan syarikat konsesi dan membangkitkan bahawa jumlah kos kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk bagi projek tersebut iaitu RM305 juta adalah terlalu tinggi, termasuk dalam kenyataan beliau pada 30 Mac.

Menurut Fadillah, taklimat yang disampaikan oleh kerajaan negeri Pulai Pinang kepada kementerian pada April adalah gambaran keseluruhan projek termasuk penjelasan tentang mengapa kajian kebolehlaksanaan mengenai bahagian terowong projek yang telah lama dijanjikan telah ditangguhkan.

"Kos terperinci mengenai projek bukan sebahagian daripada perbincangan ini," kata beliau ketika syarikat tersebut (The Consortium Zenith Construction Sdn Bhd) dilaporkan telah menafikan yang ia telah terlebih dibayar kos perunding bagi projek tersebut.

Pengerusi Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Zulkifli juga mendakwa bahawa tidak ada kenyataan, komen atau ulasan negatif yang dibangkitkan oleh menteri, Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai isu itu apabila mereka membuat penyampaian sepenuhnya mengenai kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci (FSDD) dan penilaian kesan alam sekitar (EIA) kepada kementerian pada April.

Fadillah berkata kementerian berpegang kepada pendapat profesional Lembaga Jurutera yang telah membuat pengiraan bahawa bayaran maksimum yang dibenarkan berdasarkan skala harga ialah RM41 juta bagi tiga projek utama jalan raya di Pulau Pinang.

"Sejumlah RM177.5 juta yang telahpun dibayar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang untuk tujuan ini adalah empat kali ganda terlebih bayar daripada bayaran maksimum mengikut skala bayaran yang diwartakan.

"Sila ambil perhatian bahawa RM177.5 juta ini tidak termasuk sebarang bayaran untuk terowong itu sendiri kerana kajian untuk ini belum selesai atau telah dibayar," kata Fadillah.

Beliau berkata untuk mengelakkan keraguan, Lembaga Jurutera ialah badan berkanun tunggal yang mengawal skala bayaran yang diwartakan bagi kerja-kerja sivil di negara ini. Ini diperuntukan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138).

Pembinaan terowong dasar laut ialah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas di pulau itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS