Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aidilfitri bukan pesta rai pemergian Ramadan
Diterbitkan:  Jun 23, 2017 12:23 PM
Dikemaskini: 4:32 AM

Khutbah Jumaat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyeru umat Islam mengisi permulaan Syawal dengan amalan soleh dengan menuruti sunnah Rasulullah.

Mimbar berkata, ketakwaan seseorang dinilai melalui keazaman, kesungguhan dan istiqamah dalam melaksanakan perintah Allah.

"Kemenangan kita di Aidilfitri ini tidak bermakna seolah-olah kita berpesta meraikan pemergian Ramadhan.

"Perayaan ini adalah simbolik tanda kesyukuran kita di atas mujahadah yang dilakukan selama sebulan lalu di samping bermuhasabah dengan melaungkan takbir dan tahmid tanda keinsafan.

"Paling penting, kita hendaklah memelihara konsistensi dalam mengamalkan segala kebaikan dan bersungguh-sungguh meninggalkan keburukan supaya tiada ruang lagi buat syaitan dan nafsu jahat memisahkan antara hak dan batil," kata mimbar.

Khutbah bertajuk "Erti Kemenangan di Aidilfitri" disampaikan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut Ahad ini.

Teks itu menyebut, bagi mengekalkan kelebihan dan keberkatan bulan Ramadan umat Islam dianjurkan melaksanakan puasa sunat enam dalam bulan Syawal.

"Antara amalan yang menunjukkan berhasilnya takwa seseorang itu ialah melakukan puasa sunat selama enam hari sama ada secara berturut-turut atau berselang-seli," kata mimbar.

Amalan berpuasa enam turut dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menerusi teks khutbah agensi itu.

"Pada bulan Syawal nanti, umat Islam akan meraih ganjaran hebat menerusi ibadat puasa enam hari yang tidak ada pada mana-mana bulan yang lain," kata mimbar dalam teks khutbah bertajuk "Berhari Raya Dengan Penuh Beradap".

Teks itu memetik hadis daripada Abu Ayub al-Ansari R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan, lalu diiringi dengan puasa enam hari pada bulan Syawwal, dia seperti telah berpuasa sepanjang tahun," petik mimbar.

Lihat Komen
ADS