Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vigneswaran dilantik semula yang dipertua Dewan Negara
Diterbitkan:  Jun 23, 2017 2:55 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Naib Presiden MIC Datuk Seri S A Vigneswaran hari ini mengangkat sumpah sebagai senator bagi penggal kedua dan dilantik semula sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.

Beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abd Halim Abd Samad di Bangunan Parlimen di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengusulkan cadangan nama Vigneswaran semasa mesyuarat khas di Dewan Negara hari ini dan ia disokong Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Tiada cadangan nama lain dikemukakan dan anggota Dewan Negara sebulat suara menyokong cadangan berkenaan.

Vigneswaran, 52, yang juga Ketua MIC Bahagian Klang, sebelum ini dilantik sebagai senator pada 23 Jun 2014 dan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-17 pada 26 April tahun lepas.

Vigneswaran ketika ditemui pemberita berkata beliau akan berusaha memperkasakan fungsi Dewan Negara supaya ia terus kekal relevan dalam mengetengahkan permasalahan rakyat.

"Saya berharap semua pihak yang telah memberi kerjasama selama ini akan terus berbuat demikian. Saya akan menjalankan tugas saya sedaya upaya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara," katanya.

Sementara itu, Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata beliau yakin Vigneswaran dapat meneruskan tugas sebagai yang dipertua Dewan Negara dengan baik.

"Saya mempunyai keyakinan penuh dengan pengalaman beliau dalam bidang politik dan dalam kepimpinan masyarakat... saya yakin beliau akan memastikan tanggungjawabnya dijalankan secara baik," kata menteri itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS