Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PEMENANG cadang wujud akta cegah buli
Diterbitkan:  Jun 23, 2017 4:06 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) akan menghantar memorandum cadangan untuk mewujudkan akta bagi mencegah gejala buli yang dilihat semakin berleluasa terutama dalam kalangan pelajar, pada masa ini.

Presiden Pemenang Datuk Seri Mohd Yussof Latif berkata memorandum itu akan dihantar awal Julai ini kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Antara kandungan yang terdapat dalam memorandum tersebut adalah mengambil tindakan terhadap sekolah yang didapati cuba menyembunyikan kes buli yang berlaku dalam kawasan sekolah terbabit," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Beliau berkata, pihak bertanggungjawab juga disarankan agar mengambil tindakan terhadap ibu bapa jika anak mereka yang terlibat dalam gejala buli didapati bersalah.

"Jika ibu bapa tersebut didapati tidak mendidik dan memberi perhatian yang serius kepada anak mereka yang terlibat dengan kegiatan buli ini maka kita mahu pihak bertanggungjawab mengambil tindakan sewajarnya terhadap ibu bapa ini," katanya.

Mohd Yussof berkata budaya 'ragging' yang banyak diamalkan kebanyakan sekolah dan institusi pengajian tinggi perlu diharamkan supaya tidak mendorong timbulnya gejala buli.

Beliau juga mencadangkan supaya pembuli yang ditangkap tidak terus dibuang atau diberhentikan sekolah, sebaliknya hantar mereka ke pusat pemulihan akhlak untuk satu tempoh dan dibenarkan semula bersekolah.

"Jika kita terus membuang pembuli ini dari sekolah kita khuatir mereka akan menjadi lebih teruk di luar sana kerana tidak diberi pendidikan dan perhatian yang secukupnya," katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa pihak bertanggungjawab memandang serius isu buli dan mengambil tindakan sewajarnya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS