Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maybank lancar kumpulan pertama terminal kad Alipay
Diterbitkan:  Jun 23, 2017 5:38 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Malayan Banking Bhd (Maybank) melancarkan kumpulan pertama terminal kad Alipay di Malaysia bagi memudahkan pembayaran tanpa sentuh kepada kira-kira tiga juta pelancong dari China yang dijangka melawat negara ini tahun ini.

Ketua Pegawai Strategik Kumpulan Maybank, Michael Foong berkata terminal Alipay yang baru itu bukan sahaja akan menyediakan perkhidmatan pembayaran yang pantas, lancar dan selamat untuk pengunjung dari China, tetapi juga meningkatkan pengalaman perjalanan mereka di Malaysia, sekali gus meningkatkan perbelanjaan pelancong.

"Terminal Alipay membolehkan pembayaran tanpa sentuh melalui kod QR setelah pedagang hanya perlu mengimbas kod QR Alipay pelancong untuk transaksi pembelian.

"Pelancong dari China membentuk sebahagian daripada pelawat asing yang semakin meningkat ke Malaysia dan dianggarkan membelanjakan kira-kira RM9 bilion tahun ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foong berkata keupayaan baru ini dalam terminal kad di Malaysia adalah penting kerana Alipay merupakan platform pembayaran pihak ketiga terkemuka di dunia dengan 450 juta pengguna, lebih daripada 80 peratus menjadi pengguna mudah alih.

Terminal Alipay boleh didapati di kedai-kedai seperti Royal Selangor, Jewelers Poh Kong, Made In Malaysia, Mystical Borneo, King of Fruits, Sunway Resort Hotel, Sunway Clio Hotel, Sunway Pyramid Hotel, DFZ Duty Free, Eraman dan peniaga di Kota Kinabalu seperti Imperial Seafood Restaurant, Ming Garden Hotel & Residence serta Fish Market Restaurant.

Lebih banyak peniaga dijangka menyertainya dalam beberapa bulan akan datang.

Perkhidmatan baru ini susulan pemeteraian perkongsian strategik baru-baru ini antara Kumpulan Maybank dan Ant Financial Services (Ant Financial) dari China untuk menyediakan kemudahan pembayaran tanpa sentuh kepada pengguna Alipay yang ke Malaysia.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS