Paling Popular
Terkini

Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan institusi yang bereputasi, dan Pasukan Petugas Khas (STF) yang dibentuk untuk menyiasat ke atas kerugian tukaran asing pada 1980-an dan 1990-an, bukan untuk menjejaskan, sebaliknya mahu menutup terus isu berkenaan.

“Saya perlu katakan bahawa BNM merupakan institusi yang bukan sahaja dihormati di Malaysia, bahkan di peringkat antarabangsa, dan ini sangat positif untuk kita,” katanya.

“Bukanlah niat pasukan petugas untuk menjejaskannya. malah kami berbangga dengannya (pencapaian Bank Negara Malaysia)," kata Bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada temu bual bersama sekumpulan media pada Jumaat.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas gabenor BNM, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz mengenai isu itu baru-baru ini bahawa BNM telah mengambil langkah perlu dalam memastikan insiden tahun 1980-an dan 1990-an tidak berulang.

Zeti mengambil alih sebagai Gabenor Bank Pusat pada 2000. Pada 2009, Global Finance Magazine menamakannya sebagai antara Ketua Bank Pusat terbaik di dunia. Zeti bersara tahun lepas.

Sidek berkata STF terdiri daripada anggota masyarakat, seperti Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh.

“Kami tidak akan berbuat sesuatu untuk menjejaskan institusi penting seperti Bank Negara,” katanya.

Pada 26 Jan lalu, bekas penolong gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan BNM mengalami kerugian pasaran pertukaran wang asing sebanyak AS$10 bilion pada awal 1990-an, jauh lebih tinggi daripada RM9 bilion seperti yang dinyatakan oleh BNM.

Berikutan itu, tujuh ahli STF, yang diketuai Sidek, dibentuk pada Februari.

STF dalam penemuan awalnya mendapati kerugian sebenar lebih besar daripada yang dilaporkan kepada kabinet dan parlimen pada masa itu.

Ia mendapati terdapat kes prima facie yang memberi merit untuk siasatan mendalam dijalankan dengan membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang telah dipersetujui kerajaan.

Ditanya mengenai perlunya untuk menyiasat sesuatu yang berlaku kira-kira dua dekad lepas, Sidek berkata walaupun ia sudah lama berlaku, kerugian sebenar baru diketahui. (Perkara ini telah berlaku lama tapi pendedahkan telah dibuat yang menyatakan angka kerugian itu agak besar).

“Saya kira, rakyat perlu penjelasan tentang perkara itu dan kerajaan telah memutuskan supaya diadakan penyiasatan.”

Oleh itu, RCI adalah satu-satunya jalan untuk mengetahui sepenuhnya.

“Kalau tak buat sekarang, ia akan berlarutan. Pada masa depan … 5 … 10 tahun lagi akan dibangkitkan lagi. Siasatan penuh (menerusi RCI) mungkin dapat meyelesaikannya kes ini,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS