Paling Popular
Terkini
story images
story images

Hidayah Allah boleh datang dalam pelbagai bentuk. Bagi wanita 38 tahun kelahiran Chiang Mai, utara Thailand, jendela imannya dikuak oleh senibina masjid yang indah.

Tanggal 26 November 2016 adalah tarikh yang tidak akan dilupakan buat selamanya apabila Chanita Yudee atau nama barunya Fatimah Abdullah mengucap syahadat selepas terpesona dengan binaan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

“Pada mulanya saya datang ke Malaysia untuk bertemu dengan rakan saya selama dua hari. Dan kawan saya ajak saya ambil gambar di Masjid Putrajaya. Saya rasa bangunan itu sangat indah menyebabkan saya nak peluk Islam.

“Tarikh saya peluk Islam di Masjid itu pada 26 November dan lihat banyak orang berkunjung ke masjid itu menyebabkan rasa sangat gembira,” katanya kepada Malaysiakini.

Dikenali juga sebagai Masjid Besi, rumah ibadat umat Islam itu dinamakan sempena Yang di-Pertuan Agong XIII Tuanku Mizan Zainal Abidin Sultan Mahmud.

Masjid yang menggunapakai seni bina Arab, Jerman dan China itu terletak tepi tasik Putrajaya dan kelihatan amat cantik ketika dilimpahi cahaya pada waktu malam.

Masjid bernilai RM200 juta itu satu-satunya masjid yang pembuatannya menggunakan 6,000 tan besi atau 70 peratus bahan binaan dengan baki 30 peratus konkrit.

Ia mempunyai tiga konsep rekabentuk iaitu “angin, sederhana dan telus”. Bahagian dalam dewan solat utama tidak menggunakan kipas atau pendingin hawa, sebaliknya menggunakan teknologi gas penyejuk udara.

Berhampiran ruang solat utama dikelilingi kolam air yang membuatkan pengunjung menikmati suasana udara segar.

Tak dapat pulang ke kampung

Sementara itu, dalam wawancara Malaysiakini dengan Fatimah baru-baru ini, beliau sendiri tidak menyangka percutiannya ke Kuala Lumpur akan mengubah segalanya.

Namun tanah mana tidak ditimpa hujan, beliau turut berdepan cabaran tersendiri apabila keluarganya masih tidak dapat menerima agama pilihannya itu.

Malah, seorang abangnya tidak membenarkan beliau pulang ke kampung selepas memberitahu keputusannya itu kepada keluarganya.

“Saya beritahu ibu dan abang mengenai Islam dan mereka tak dapat terimanya.

“Abang saya sangat marah dan dia kata bahaya kalau saya terus menetap di kampung, kini saya rasa Malaysia lebih selamat buat saya,” kongsinya.

Rata-rata penduduk di kampungnya beragama Buddha dengan segelintir memilih Kristian.

Fatimah bercadang memohon perlindungan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk pulang semula ke Thailand apabila tibanya Syawal.

Fatimah ketika ditemui sedang mengikuti rutin kelas agamanya bawah kelolaan Islamic Outreach ABIM Center (IOAC) dan Masjid Negara di Kuala Lumpur.

Belajar dari Youtube

Sementara itu, jururawat di Hat Yai itu juga berkata, pada mulanya beliau mempelajari agama Islam melalui Youtube sahaja sebelum dimaklumkan bahawa OIAC ada membuat kelas untuk mualaf.

Demi mengikuti kelas tersebut dan belajar berpuasa, Fatimah bercuti panjang sepanjang Ramadan dan terbang ke Kuala Lumpur sekali lagi demi mempelajari Islam.

“Malaysia sangat indah, saya datang ke sini dan menetap dengan rakan saya untuk bulan Ramadan ini. Saya belajar agama di Masjid Negara.

“Saya belajar sikit-sikit. Saya nak belajar cara sembahyang, saya nak belajar semua mengenai Islam,” katanya.

Fatimah turut berkata, Ramadan kali ini sungguh bermakna buatnya kerana ia adalah tahun pertamanya berpuasa.

Mengakui sangat sukar pada hari pertama namun ia dapat diatasi dengan menyibukkan diri dengan beribadah.

“Saya rasa sangat dahaga tapi saya sibukkan diri dengan beribadah dan tidur. Saya bangun untuk buka puasa. Kelaparan itu saya lupakan.

“Saya juga tarawih malam tadi. Di masjid berdekatan dengan rumah saya. Saya tak faham banyak sangat mengenai (cara solat tarawih) tapi ada jemaah masjid yang membantu saya,” katanya.

Dalam wawancara itu, Fatimah turut menunjukkan tatu di bahagian tangan kirinya kepada wartawan, katanya beliau masih lagi belum membuangnya kerana faktor kewangan.

“Saya belum lagi buang tatu saya ini, kerana ustaz kata ia akan tinggalkan kesan dan kos untuk laser itu sangat mahal. Ustaz kata tak apa kalau belum mampu,” katanya.


[Tulisan ini bahagian keempat (akhir) daripada siri kisah perjalanan rohani memeluk Islam yang disiarkan Malaysiakini sempena Ramadan. Namun, jika anda mempunyai kisah menarik atau pandangan untuk dikongsi, sila hubungi wartawan kami Anne Muhammad melalui e-mel [email protected]. – Editor]

Syahadah dia di KL
Peluk Islam selepas dengar ceramah Zakir Naik di TV
Islam, Aman Ullah buat Maria bahagia
Liku-liku jejaka Iban sebelum bergelar saudara baru
Syahadah atas laut gadis Cebu, Filipina
'Dia bimbing saya pada Islam, dia suamiku'
Dari Chennai, Selva bertemu Islam di KL

Lihat Komen
ADS