Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr Subra minta MP DAP fahami isu kaum India
Diterbitkan:  Jun 25, 2017 5:57 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam hari ini meminta seorang pemimpin DAP meningkatkan kefahamannya tentang isu kerakyatan kaum India sebelum membuat sebarang kenyataan.

Katanya kenyataan M Kulasegaran mengenai 300,000 mereka yang berketurunan India di negara ini tidak mempunyai kerakyatan itu hanyalah untuk kepentingan politik.

“Mungkin ini di luar kefahaman beliau. Saya minta beliau, kalau boleh, tingkatkan pemahaman,” katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas kenyataan Kulasegaran yang dilaporkan oleh portal berita semalam.

Dr Subramaniam juga membidas Anggota Parlimen Ipoh Barat itu yang mendakwa MIC hanya berani bersuara dengan pembangkang namun tunduk kepada Umno.

“Pembangkang pun berani sesama mereka juga tetapi tunduk kepada parti-parti lain dalam kumpulan mereka,” kata Menteri Kesihatan itu yang ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, di Seri Perdana di Putrajaya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengamalkan konsep konsensus yang menjadi tulang belakang perpaduan dan kestabilan politik dalam negara.

“Bukan kita setuju kepada semua perkara, tetapi kita ada cara untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik untuk kebajikan rakyat jelata,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Datuk Mohd Yazid Ramli menafikan dakwaan bahawa 300,000 masyarakat India di negara ini tidak mempunyai kad pengenalan atau berdepan masalah kewarganegaraan memandangkan bilangan mereka yang tampil pada program MyDaftar terlalu kecil berbanding jumlah yang diuar-uarkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS