Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sepuluh negara tawar kerakyatan kepada Zakir Naik
Diterbitkan:  Jun 26, 2017 12:23 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

Pendakwah Islam tersohor, Dr Zakir Naik telah ditawarkan kewarganegaraan oleh sekurang-kurangnya sepuluh negara.

Zakir, yang dikehendaki berkaitan siasatan berhubung keganasan di negara kelahirannya di India, berkata, setakat ini, beliau belum menerima mana-mana kerakyatan yang ditawarkan itu.

"Saya belum membuat keputusan mengenai sama ada saya perlu mengambil kewarganegaraan lain kerana kesukaran yang saya hadapi berdasarkan dakwaan tidak berasas (di India).

"Dengan rahmat Tuhan, saya telah ditawarkan kewarganegaraan oleh sekurang-kurangnya sepuluh negara Islam.

"Mungkin pada masa datang saya akan terima jika bersesuaian, kerana menurut teks-teks Islam, jika ada pihak cuba menganiaya pemikiran saya, maka saya harus melindungi diri," katanya dilaporkan dalam satu wawancara melalui sebuah televisyen Arab Saudi, yang kemudiannya dipetik oleh akhbar The Hindu yang berpangkalan di New Delhi, Jumaat lalu.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa Zakir telah diberikan status pemastautin tetap (PR) di negara ini, lima tahun lalu.

Adalah juga dilaporkan bahawa Zakir menggunakan Malaysia sebagai pangkalan dan sering berkunjung ke Arab Saudi.

Pendakwah Islam itu telah diharamkan dari melawat beberapa negara. Antaranya, UK dan Kanada kerana ucapannya, yang dianggap lantang dan menghasut.

Pihak berkuasa India sedang menyiasat Zakir mengenai dakwaan keganasan dan tuduhan pengubahan wang haram.

Agensi Penyelidikan Kebangsaan India (NIA) sebelum ini meminta Interpol untuk mengeluarkan notis merah ke atas Zakir, supaya beliau diisytiharkan sebagai banduan antarabangsa yang boleh ditangkap oleh mana-mana agensi di seluruh dunia.

Ini berikutan siasatan NIA selama setahun ke atas Yayasan Penyelidikan Islam dan Peace TV yang diceburi oleh Zakir.

Sejak itu kerajaan India mengharamkan yayasan itu dan menutup saluran TV berkenaan.

Lihat Komen
ADS