Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Warga asing banjiri ibu kota sempena Aidilfitri
Diterbitkan:  Jun 27, 2017 8:41 AM
Dikemaskini: 12:47 AM

Tatkala warga kota masih menyambut Syawal di rumah dan kampung halaman masing-masing, ibu kota pula dibanjiri warga asing yang turut beraya mengikut cara mereka.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu kota mendapati warga asing seolah-olah berpesta di tempat-tempat tumpuan orang ramai dan pelancong seperti Jalan Chow Kit, Pasar Seni, KL Sentral dan Masjid Jamek.

Begitu juga pemandangan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) serta perhentian pengangkutan awam lain dengan warga asing dari Bangladesh, Indonesia dan Myanmar membanjiri tempat-tempat itu.

Seorang warga Indonesia yang hanya ingin dikenali sebagai Yudi, 38, berkata sudah menjadi kebiasaan baginya untuk menyambut lebaran jauh daripada keluarga tersayang.

“Isteri dan anak saya semuanya di Gerisik, Indonesia. Sekarang memang susah untuk kami balik ke kampung halaman masing-masing disebabkan masalah dokumen.

“Kami perlu melalui pelbagai proses yang memerlukan kos tinggi. Saya hanya bekerja sebagai buruh di tapak pembinaan dan tidak mempunyai cukup wang untuk balik beraya dengan keluarga saya,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu juga berkata bahawa dia hanya mampu meminta cuti daripada majikannya selama tiga hari.

“Selepas ini kami akan ke Ipoh, Perak untuk menyambut raya dengan kawan-kawan sekampung sekali gus mencari peluang pekerjaan yang baharu. Kontrak pekerjaan saya hampir tamat di Kuala Lumpur,” katanya yang telah bekerja selama 10 tahun sebagai buruh pembinaan di Malaysia.

Selain itu, warga Bangladesh yang hanya mahu dikenali sebagai Tarek berkata beliau mengambil kesempatan sempena cuti hari raya ini untuk melawat rakannya di sini.

“Memang telah menjadi kebiasaan bagi saya setiap tahun melawat kawan-kawan saya yang tinggal di Kuala Lumpur. Memang susah untuk meluangkan masa dengan kawan-kawan saya selain daripada musim perayaan ini,” tambahnya.

Sementara itu, tinjauan Bernama di sebuah pusat beli-belah di KL Sentral mendapati rata-rata warga asing meluangkan masa pada hari kedua Syawal dengan rakan senegara masing-masing dan ada antara mereka yang memakai pakaian tradisional seperti kurta.

Bagi pengawal keselamatan warga Bangladesh yang bekerja di Subang, Md Masir, 34, beliau mengambil kesempatan menghabiskan cuti rayanya dengan bersiar-siar di pusat beli-belah bersama rakan-rakannya.

"Sudah lima tahun saya beraya di Malaysia kerana saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk pulang beraya, namun saya tidak kisah kerana saya ada ramai kawan-kawan di sini," kata bapa kepada tiga orang anak itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS