Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenapa Hadi tak cadangkan hudud ke atas Najib?
Diterbitkan:  Jun 27, 2017 11:35 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

ULASAN l Amat mengejutkan apabila Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan menjelang sambutan Aidilfitri tahun ini dengan mendakwa negara asing yang menyiasat skandal 1MDB sebagai cubaan campur tangan kuasa asing.

Kenyataan tersebut adalah satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan amat menyedihkan di mana ia boleh mengelirukan rakyat.

Ini kerana agama dijadikan perisai bagi menutup salahlaku yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan kroni-kroninya dalam skandal berskala mega ini.

Kenyataan Presiden PAS yang mahukan undang-undang Malaysia bertindak menyelesaikan skandal 1MDB adalah satu kenyataan naif seorang ahli Parlimen.

Ini kerana laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibekalkan kepada beliau telah mendedahkan bahawa 1MDB telah membayar kepada Aabar BVI sebuah syarikat palsu yang ditubuhkan untuk mencuri wang 1MDB, sehinggakan IPIC dan Aabar sebenar menyaman 1MDB dan kerajaan Malaysia.

Walaupun dengan bukti yang nyata ini, pihak berkuasa di negara ini termasuk Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih gagal bertindak sehingga sekarang.

Malahan, peguam negara sendiri gagal mendakwa Najib walaupun bukti kemasukan wang ke akaun peribadi beliau sebanyak RM2.6 billion dari akaun Tanore dan RM42 juta dari SRC yang meminjam wang KWAP ditunjukkan sendiri oleh beliau.

Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri telah mengeluarkan kenyataan tidak akan menyiasat skandal 1MDB.
Pihak polis pula sampai ke hari ini masih menyiasat sedangkan Jho Low dibiarkan bebas.

Sikap membisu institusi penguatkuasaan undang-undang negara dalam skandal 1MDB ini telah mencemar keluhuran undang-undang negara ini. Ironinya, Presiden PAS pula boleh percayakan mereka.

Tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat menyiasat dan menyita aset-aset mewah bukanlah satu campurtangan ke atas negara ini.

Sebaliknya, tindakan DOJ tersebut adalah akibat salahlaku jenayah berkaitan penyelewengan skandal 1MDB kerana ia melibatkan pelanggaran undang-undang dan sistem kewangan Amerika Syarikat.

Bukan sahaja Amerika Syarikat yang menyiasat skandal ini, malahan banyak lagi negara lain terutamanya Singapura yang setakat hari ini, telah menghukum lima orang pegawai bank dan mendenda lapan bank dengan dua bank Swiss diarahkan ditutup.

Negara-negara luar hanya bertindak atas nama integriti dan digniti yang gagal dilakukan pentadbiran negara hari ini.

Seharusnya, Presiden PAS tidak lagi membela Najib yang terpalit dengan skandal 1MDB. Kezaliman tidak seharusnya dikompromi.

Alangkah gembiranya umat Islam di negara ini jika beliau mampu menyelar Najib dengan mengatakan hukum hudud harus digunakan terhadap perdana menteri.

Tidakkah rompak dan curi itu kesalahan di bawah hudud yang disebut jelas di dalam al-Quran. Saya bimbang keyakinan rakyat terhadap keadilan hukum hudud boleh terhakis dengan pendirian Presiden PAS yang gagal bertindak terhadap pemerintah.

Sedangkan Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda akan menggunakan hudud terhadap puterinya sendiri.


FAIZ FADZIL adalah timbalan Ketua Pemuda AMANAH.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS